X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Semua individu diberi makanan termasuk warga asing

Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan PKPP di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan makanan akan diberikan kepada semua individu di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk warga asing, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, walaupun kos bagi bekalan makanan mungkin tinggi namun atas dasar perikemanusiaan, makanan turut diagih kepada warga asing dan pada kebiasaannya, kos bekalan makanan warga asing ditanggung oleh badan bukan kerajaan (NGO).

"Tanggungjawab penyelarasan (bagi bekalan makanan) ini terletak pada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sepatutnya tidak timbul isu mengenai perkara ini.

"Jika timbul isu tidak mendapat bekalan makanan, hubungi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, MKN peringkat pusat atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan, di sini semasa menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan ada penduduk tempatan dan warga asing di kawasan PKPD yang tidak mendapat bekalan makanan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelajar yang menjalani latihan industri perlu diberi kelonggaran oleh majikan seperti diberikan cuti supaya mereka tidak perlu berada di pejabat terutama di kawasan zon merah.

Katanya, perkara itu terpulang kepada budi bicara majikan kerana pelajar latihan industri bukan lagi di bawah tanggungan Kementerian Pendidikan Tinggi sebaliknya di bawah majikan tempat latihan tersebut.

Bagi pekerja yang menyalahgunakan surat kebenaran keluar bekerja untuk kepentingan peribadi, beliau berkata, majikan boleh mengenakan tindakan tatatertib kepada pekerja tersebut.

Mengulas cadangan menambah jumlah kehadiran solat jemaah dan solat Jumaat di kawasan PKPB, Ismail Sabri berkata, sebarang perkara yang berkaitan hal ehwal agama terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!