X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Bekas pengurus didakwa pecah amanah, guna resit palsu

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus bahagian pengurusan di sebuah kondominium dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan RM300 berhubung pembayaran sewa lot tempat letak kereta dan menggunakan resit palsu bagi pembayaran itu, tahun lepas.

A K Gopalakrishnan, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab Razak dan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Di hadapan Nor Hasniah, lelaki itu didakwa sebagai pengurus di pejabat pengurusan kondominium Heritage Jalan Pahang, Setapak di sini telah melakukan pecah amanah dengan meminta seorang penduduk di kondominium itu memasukkan bayaran sewa lot tempat letak kereta sebanyak RM300 ke dalam akaun Ambank miliknya.

Lelaki itu yang didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pejabat pengurusan kondominium tersebut pada 23 Mac 2019, dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Mohamad Fared, Gopalakrishnan minta dibicarakan atas pertuduhan menggunakan satu resit rasmi yang diketahuinya dokumen palsu di lokasi sama, antara 29 April hingga 29 Julai 2019. Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pecah amanah manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan menggunakan dokumen palsu kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam P Suthes yang mewakili Gopalakrishnan memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang kini bekerja sebagai eksekutif bahagian pengurusan di sebuah kondominium lain dengan pendapatan RM5,000 sebulan menanggung perbelanjaan rumah serta perubatan ibu dan bapa mertuanya yang masing-masing mengalami diabetis dan sakit jantung.

"Selain itu, anak guam saya yang mempunyai penyakit strok, diabetis dan darah tinggi juga perlu membayar kos perubatannya sendiri. Kes ini berlaku pada tahun lepas dan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Nor Hasniah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala Mohamad Fared memerintahkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!