JPJ Terengganu lelong 47 kenderaan sita

Zulkarnain (dua dari kanan) menunjukkan buku lelongan yang digunakan pembida dalam lelongan hari ini.
Zulkarnain (dua dari kanan) menunjukkan buku lelongan yang digunakan pembida dalam lelongan hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengutip RM369,100 hasil lelongan kenderaan sita pada Majlis Lelongan Awam JPJ Terengganu siri 1/2020 yang berlangsung hari ini.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, pada majlis itu sebanyak 47 kenderaan melibatkan 16 kereta, 28 motosikal, dua buah van dan sebuah lori kecil dilelong kepada pembida yang hadir bermula jam 8.30 pagi.

“Sambutan diterima daripada pembida kali ini menggalakkan dengan 100 buku lelongan habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja pada 19 Oktober lalu. Kita telah cetak 100 buah buku lagi dan ia habis dijual selama tiga hari,” katanya.

Menurutnya, berikutan sambutan tinggi daripada orang ramai, pihaknya mengadakan lelongan 43 kenderaan di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu mengikut prosedur operasi standard (SOP) pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, empat kenderaan lagi dilelong di Stesen Penguat kuasa Kijal, Kemaman.

“Bidaan paling tinggi membabitkan kenderaan jenis Subaru Impreza bernilai RM47,000 manakala bidaan terendah adalah sebuah motosikal Modenas Kriss berharga RM50,” katanya.

Zulkarnain berkata, sehingga kini JPJ Terengganu telah memperoleh RM1.3 juta hasil lelongan 257 kenderaan melalui lapan siri lelongan dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2016.

Artikel Berkaitan: