Pencemaran sungai: JAS Selangor keluarkan 106 kompaun

JPS Selangor sentiasa memantau keadaan rizab sungai dan akan melaporkan kepada LUAS dan PBT berkaitan sekiranya terdapat aktiviti menjejaskan kualiti air sungai. (Gambar fail). Gambar kecil:Hee Loy Sian
JPS Selangor sentiasa memantau keadaan rizab sungai dan akan melaporkan kepada LUAS dan PBT berkaitan sekiranya terdapat aktiviti menjejaskan kualiti air sungai. (Gambar fail). Gambar kecil:Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan sebanyak 106 kompaun berjumlah RM212,000 kepada pihak yang melepaskan sisa kimia dan bahan pencemaran sungai di Selangor sejak Januari hingga September lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, selain JAS Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut mengeluarkan dua notis pemberitahuan kesalahan, dua surat arahan, satu tindakan perobohan serta satu kertas siasatan dibuka bagi kes pencemaran sungai.

Menurutnya, lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengeluarkan kompaun terhadap pesalah pencemaran iaitu Majlis Perbandaran Klang sebanyak dua kompaun, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (dua kompaun) dan Majlis Perbandaran Kajang (211 kompaun).

"Majlis Perbandaran Selayang pula mengeluarkan kompaun berjumlah RM40,000, Majlis Bandaraya Shah Alam (lima kompaun berjumlah RM5,000), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (10 kompaun berjumlah RM5,250), Majlis Daerah Kuala Selangor (kompaun berjumlah RM3,400) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (kompaun berjumlah RM3,500)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai jumlah kompaun dan tindakan penguatkuasaan berhubung pencemaran sungai.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, langkah itu diambil berdasarkan 11 usaha dalam Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor.

"Antaranya adalah kajian semula perundangan Enakmen LUAS 1999 membabitkan peningkatan jumlah denda, kompaun dan penjara, mengadakan penyelarasan antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Selain itu, usaha lain yang turut diambil adalah mempergiatkan pemantauan berkala bagi pematuhan syarat kepada premis berlesen oleh LUAS serta mengenal pasti peralatan mengesan pencemaran bau yang bersesuaian," katanya.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor pula sentiasa memantau keadaan rizab sungai dan akan melaporkan kepada LUAS dan PBT berkaitan sekiranya terdapat aktiviti menjejaskan kualiti air sungai.

Artikel Berkaitan: