Jabatan Penjara laksana 63,730 saringan Covid-19

Zulkifli Omar
Zulkifli Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara melaksanakan sejumlah 63,730 saringan Covid-19 ke atas banduan, kakitangan serta ahli keluarga dari semua institusi penjara di seluruh negara sejak 1 September lepas sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenakan kuarantin kepada semua banduan, kakitangan dan ahli keluarga serta kontak rapat berpotensi dijangkiti wabak itu selain merawat serta mengasingkan individu yang disahkan positif Covid-19.

"Ia dilaksana sesuai dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Arahan penangguhan penghantaran banduan kepada Jabatan Penjara oleh semua agensi penguatkuasaan turut dikeluarkan pada 15 Oktober lepas bagi mencegah penularan jangkitan wabak itu melalui Banduan Reman (BR) atau Orang Kena Tahan (OKT).

"Berikutan strategi kuarantin dan 'lockdown' terhadap tahanan reman serta banduan sabitan, situasi penularan Covid-19 dalam kalangan institusi penjara menjadi semakin terkawal dengan catatan peningkatan kes harian yang rendah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli turut memaklumkan sehingga semalam, sebanyak 3,721 kes sembuh melibatkan tahanan reman dan banduan sabitan direkodkan membabitkan institusi penjara.

Beliau juga berkata, walaupun situasi ketika ini adalah terkawal, pihaknya masih mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan sebarang bentuk perjumpaan serta program yang melibatkan banduan di penjara.

"Penambahbaikan SOP bagi menerima, mengiring serta menguruskan banduan dari masa ke masa bagi mengelak masalah sama daripada berulang akan turut dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli turut bersyukur dengan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara semalam untuk tidak melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Pusat Koreksional Puncak Alam, Penjara Sungai Petani dan Pusat Koreksional Perlis. - Bernama