X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB di Seremban bermula 5 hingga 18 November

Ismail Sabri menunjukkan peta Daerah Seremban yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula lima hingga 18 November ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di daerah Seremban, Negeri Sembilan bermula Khamis ini hingga 18 November.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB itu meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB masih sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Beliau juga berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di penjara dan kuarters perumahan penjara Seberang Perai, Pulau Pinang dilanjutkan selama 14 hari bermula Khamis hingga 18 November.

Katanya, pelaksanaan PKPD di lokaliti itu kerana masih terdapat kes positif Covid-19 baharu sehingga 1 November lepas.

Ismail Sabri juga berkata PKPD di Penjara Zon Utara dan Zon Selangor ditamatkan esok selepas kes positif COVID-19 menunjukkan penurunan dan terkawal.

“Penjara Zon Utara ialah Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Penjara Koreksional Kamunting Perak dan Penjara Tapah.

“Zon Selangor melibatkan Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia telah menahan sejumlah 381 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam dengan 372 dikompaun manakala sembilan lagi direman.

Katanya kesalahan tidak memakai pelitup muka dilaporkan sebagai yang tertinggi melibatkan 151 individu diikuti premis gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk pelanggan iaitu 66.

“Kesalahan lain termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan sosial melibatkan 37 individu, pesta persendirian (26), premis beroperasi lebih masa (24), aktiviti di pusat hiburan (sembilan) dan kesalahan lain (68),” katanya.

Ismail Sabri berkata, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Mengulas Operasi Benteng bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini, beliau berkata sejak 1 Mei hingga semalam, sejumlah 7,974 pendatang tanpa izin, 775 tekong dan 330 penyeludup diberkas manakala 847 kenderaan telah dirampas. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!