Lokman dibebaskan dengan jaminan polis

Lokman ketika ditemui setelah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Lokman ketika ditemui setelah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dibebaskan dengan jaminan polis, semalam, selepas direman sehari bagi membantu siasatan berhubung sebuah video disyaki (berbaur ugutan) terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang JSJ Bukit Aman telah memulakan siasatan berhubung satu laporan polis terhadap Lokman.

Polis melakukan siasatan ke atas sebuah video yang telah dimuat naik oleh Lokman kerana disyaki mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan jelik terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Difahamkan, Lokman ditahan ketika sedang bersiaran langsung melalui Facebook di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin.

Artikel Berkaitan: