Pahang bersiap sedia hadapi banjir

Wan Rosdy (depan, dua dari kanan) mengibarkan bendera sebagai simbolik Majlis Pelancaran Skuad Bencana 2.0 bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang bagi menghadapi monsun timur laut di pekarangan Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan hari ini.
Wan Rosdy (depan, dua dari kanan) mengibarkan bendera sebagai simbolik Majlis Pelancaran Skuad Bencana 2.0 bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang bagi menghadapi monsun timur laut di pekarangan Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sudah bersiap sedia menghadapi banjir dengan memastikan barangan keperluan asas yang dihantar ke pangkalan hadapan di daerah ini mencukupi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini, pihak kerajaan berpuas hati dengan persiapan banjir yang telah dilakukan pelbagai agensi membabitkan bantuan dan sumbangan.

"Saya difahamkan barangan keperluan asas sudah dihantar ke pangkalan hadapan dan lokasi pertama ialah Pulau Tioman.

"Bekalan barangan keperluan asas ini juga akan dihantar ke daerah seterusnya seperti Kuantan, Lipis dan beberapa daerah lain tidak termasuk Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Bencana 2.0 bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang bagi menghadapi monsun timur laut di pekarangan Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Dalam pada itu, Wan Rosdy mengharapkan tiada kejadian banjir besar berlaku sebagaimana tragedi banjir yang pernah melanda Pahang pada tahun 2014.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, sebanyak 18 buah NGO yang terlibat telah bersiap siaga untuk membantu agensi kerajaan dalam menghadapi bencana di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha itu melibatkan hampir 100 sukarelawan dengan 20 buah kenderaan bagi menyalurkan bantuan sekiranya berlaku bencana.

"Kesemua sukarelawan terlibat akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.