X

Kindly register in order to view this article
!

Kemas Kedah dan NGO jalin kerjasama jahit PPE

Siti Ashah (dua dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada sukarelawan Kemas, agensi kerajaan dan NGO terlibat yang menjayakan projek murni itu sambil disaksikan Noor Azman (kiri) di bengkel jahitan Kemas, Kampung Hujung Bandar.
A
A

SIK - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas kesihatan sebagai tanda solidariti kepada usaha barisan hadapan negara memerangi penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kedah, Noor Azman Abd Rahman berkata, bantuan itu adalah inisiatif yang digerakkan menerusi kerjasama NGO bersama sukarelawan Kemas dan Pejabat Kesihatan Daerah Sik.

Menurutnya, sebanyak 5,447 PPE berjaya dihasilkan menerusi projek kerjasama itu yang bermula pada 5 April hingga 19 Ogos lalu.

“Kita bekerjasama dengan Cancer Survivors Malaysia dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Kedah, termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Sik. Sebanyak 5447 PPE dijahit merangkumi

2,488 helai gaun pengasingan, 1,687 helai tudung, 611 sarung kaki serta 661 pelitup muka,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, agihan gerak kerja diagihkan untuk kelancaran menyiapkan PPE dalam tempoh ditetapkan, di mana Cancer Survivors Malaysia menghasilkan sebanyak 3,545 unit, Salimah (1,122) dan Pejabat Kesihatan Daerah Sik sebanyak 780 unit.

“Saya gembira dengan penglibatan 76 sukarelawan Kemas dalam projek murni ini melibatkan 26 kakitangan Kemas, selain dibantu 48 peserta Kemas dan dua usahawan Kemas. Sebanyak lapan Parlimen terlibat menjayakan projek ini, iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Alor Setar, Kuala Kedah, Sungai Petani, Merbok dan Sik,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 120 pasang PPE turut disumbangkan kepada kaki tangan Pejabat Kesihatan Daerah Sik untuk kegunaan petugas kesihatan terbabit.

Terdahulu, majlis penyampaian sijil penghargaan kepada sukarelawan Kemas, agensi kerajaan dan NGO terlibat disempurnakan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Datuk Siti Ashah Ghazali di bengkel jahitan Kemas, Kampung Hujung Bandar.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!