Smart Selangor 2025 bakal pacu ekonomi

Rodziah Ismail
Rodziah Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Program Smart Selangor 2025 berupaya memacu ekonomi negeri Selangor kepada tahap yang lebih tinggi menerusi pembangunan komuniti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, program Smart Selangor mensasarkan untuk menerapkan elemen digitalisasi kepada sejumlah 200,000 PKS.

"Program ini membantu mereka memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan produk menggunakan kaedah-kaedah digitalisasi dan juga membantu meluaskan pemasaran produk menerusi platform-platform pemasaran digital berasaskan media sosial.

"Pada peringkat awal ini, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) selaku badan induk pelaksana program Smart Selangor telah memulakan proses pembangunan pangkalan data berpusat, profil PKS yang beroperasi di Selangor menerusi sebuah platform SME (www.smartselangor.com.my/smartsme)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebuah direktori digital atas talian PKS Selangor juga akan diwujudkan bagi memusatkan keberadaan kesemua PKS ini di alam digital yang akan mendedahkan mereka kepada pasaran yang lebih luas di dalam dan luar negara.

"Untuk tempoh dua bulan pertama, sejumlah 1,000 PKS Selangor telah berjaya didaftarkan menerusi platform ini dan usaha ini akan diteruskan sehingga tahun 2025 agar sasaran Selangor untuk menyumbangkan nilai ekonomi yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia akan dapat dicapai.

"PKS yang berdaftar di Selangor ataupun beroperasi di Selangor adalah digalakkan untuk mendaftar di portal tersebut (www.smartselangor.com.my/smartsme) di mana platform ini akan mengumpulkan maklumat perniagaan.

"Sekaligus ia dapat membantu mengenalpasti kekuatan dan kekangan PKS tersebut agar proses pemasaran produk, pengembangan perniagaan dan penyaluran bantuan kerajaan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan: