Dua remaja aktif mencuri motosikal ditahan

Pelbagai peralatan mencuri motosikal yang dirampas.
Pelbagai peralatan mencuri motosikal yang dirampas.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal di daerah ini apabila dua remaja diberkas dalam serbuan pada 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua remaja berusia 15 dan 16 tahun yang tidak bersekolah itu ditahan di sebuah apartmen Taman Nusa Duta.

Katanya, kegiatan curi motosikal didalangi remaja terbabit berjaya dibongkar hasil siasatan ke atas laporan kecurian motosikal seorang peniaga cuci kenderaan berusia 33 tahun pada 11 Oktober lalu.

"Susulan itu, kita berjaya menahan dua remaja dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal sejak Mac lalu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dua buah motosikal jenis Yamaha MT-09 dan 125Z yang dilaporkan hilang di Gelang Patah serta Pekan Nenas, Pontian.

"Turut dirampas ialah pelbagai peralatan mencuri motosikal termasuklah sepana, besi pembuka tayar, tong gas cecair butana berserta alat pemotong api," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, polis masih memburu seorang lagi rakan suspek berusia 16 tahun yang turut terlibat dalam jenayah ini.

"Semakan rekod lampau mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai kes kesalahan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: