Pemuda Pas gesa mantapkan pengajaran Rukun Negara

Pemuda Pas berkpandangan inisiatif berkenaan juga dalam masa yang sama berpotensi untuk menguatkan lagi perpaduan dan keharmonian negara Malaysia
Pemuda Pas berkpandangan inisiatif berkenaan juga dalam masa yang sama berpotensi untuk menguatkan lagi perpaduan dan keharmonian negara Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa kerajaan supaya segera melakukan usaha memantapkan penghayatan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan melalui subjek khusus di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha tersebut perlu disegerakan bagi mengelakkan insiden keganasan agama seperti yang berlaku di Perancis ketika ini.

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga dalam masa yang sama berpotensi untuk menguatkan lagi perpaduan dan keharmonian negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama.

“Walaupun kita menghormati Perkara 10 iaitu kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan, rakyat Malaysia seluruhnya perlu menghormati Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang disebut pada Perkara 3.

“Ini kerana keberadaan dan praktis agama-agama lain dalam negara ini juga perlu dihormati,” kata kenyataan itu.

Mengulas mengenai insiden keganasan yang berlaku di Paris, Pemuda Pas berpandangan bahawa punca yang menyebabkan kejadian itu berlaku adalah akibat daripada prinsip 'laicite' yang diamalkan oleh masyarakat Perancis.

Katanya, pegangan laicite adalah merujuk kepada sebuah konsep pemisahan agama daripada ruang awam dengan cara yang keterlaluan.

“Secara prinsipnya, DPPM tidak bersetuju dengan tindakan pelajar tersebut yang bertindak di luar batas kemanusiaan dan agama, namun kita juga perlu adil bahawa tindakan tersebut adalah reaksi kepada tindakan ekstrem guru berkenaan sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Prinsip laicite telah menyebabkan kebanyakan rakyat Perancis membenci semua agama lalu tindakan menghina Nabi Muhammad SAW dianggap satu bentuk kebebasan bersuara.

“Malangnya, akibat daripada insiden ini, rakyat Perancis yang beragama Islam sekali lagi menjadi sasaran keganasan,” katanya.

Justeru itu, Pemuda Pas menyifatkan insiden tersebut seharusnya dijadikan iktibar oleh seluruh masyarakat dunia tidak kira agama mahupun bangsa termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, Pas percaya langkah untuk memantapkan kefahaman mengenai rukun negara dan Perlembagaan Persekutuan berupaya untuk terus menyuburkan keharmonian negara yang pastinya boleh dijadikan contoh kepada negara lain termasuk di Perancis sendiri.

Pada masa sama, Pemuda Pas turut menyatakan sokongan mereka kepada cadangan untuk memboikot barangan keluaran Perancis secara besar-besaran bagi mendesak permohonan maaf daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

“Ini perlu dilakukan bagi memberi mesej yang jelas kepada Perancis agar melihat kembali betapa prinsip kebebasan menghina agama adalah satu tindakan yang tidak wajar dan akan terus mencetuskan perpecahan dan ekstremisme.

“Selain itu, kami menggesa kerajaan Malaysia meneliti kembali perjanjian pertahanan dengan negara berkenaan termasuk segala perolehan baru aset ketenteraan dari Perancis, antaranya menolak serta-merta pembelian pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA), Rafale,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, seorang guru telah dipenggal kepalanya dalam kejadian sekitar jam 5 petang (waktu tempatan) berhampiran sebuah sekolah di Conflas Saint-Honorine kira-kira 30 kilometer di barat daya Paris.

Sebelum itu, mangsa didakwa memaparkan kartun merujuk sebagai Nabi Muhammad SAW ketika mengendalikan subjek berkaitan kebebasan mengeluarkan pendapat.

Suspek utama pembunuhan tersebut dikenal pasti sebagai seorang remaja kelahiran Rusia berketurunan Chechen.

Remaja berusia 18 tahun itu bagaimanapun maut akibat ditembak polis selepas cuba melawan ketika ditahan.

Susulan itu, Macron dilaporkan media berikrar Perancis tidak akan menyerah kalah dalam isu kartun berkenaan.

Dalam laporan yang sama, Macron turut menyatakan pembunuhan guru tersebut yang dilakukan seorang remaja berketurunan Chechen itu terjadi 'kerana Islam mahukan masa depan mereka'.