1,559 terlibat PKPD di ILKKM Kempas

ILKKM Kempas yang dikenakan PKPD bermula hari ini.
ILKKM Kempas yang dikenakan PKPD bermula hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 1,559 orang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kempas bermula hari ini sehingga 16 November.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, mereka terdiri daripada pelatih, staff, ahli keluarga dan pekerja sokongan.

Menurutnya, PKPD itu dilaksanakan di ILKKM Kempas selepas terdapat Kluster Kempas dikesan di situ.

"Kumulatif kes positif bagi kluster ini adalah 53 kes melibatkan lapan rakan sekerja, ahli keluarga mereka (21), rakan sekerja ahli keluarga mereka (11), pelatih (12) dan seorang ahli keluarganya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lapan kes baharu koronavirus (Covid-19) dilaporkan di negeri ini melibatkan kluster sedia ada dan satu kes import semalam menjadikan kumulatif kes yang dilaporkan adalah sebanyak 916 kes dengan 21 kematian.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 814 kes telah pulih, manakala 77 kes yang aktif telah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

"Setakat semalam, jumlah kluster aktif di Johor kekal sebanyak empat iaitu Kluster Kempas (53 kes), Kluster Rinting (10 kes), Kluster Bayu (lapan kes) dan Kluster Meldrum sebanyak tujuh kes.

"Dijangkakan terdapat peningkatan kes dalam masa terdekat ini berikutan aktiviti pemantauan serta aktiviti saringan kontak kluster sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat dinasihatkan agar tidak panik kerana kebanyakan kes yang dilaporkan adalah dari kluster sedia ada dan hanya tertumpu kepada penularan di dalam keluarga dan tempat kerja ahli keluarga mereka," katanya.