Lelaki lari serbuan polis dijel tiga bulan, denda RM3,000

Majid (kiri) bersama tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
Majid (kiri) bersama tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki dihukum penjara tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini selepas mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam dengan melarikan diri dalam satu serbuan polis, minggu lalu.

Majid Mat Aisha, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Majid didakwa dengan sengaja menghalang tugas Inspektor Mohd Razif Abdul Hatta dengan melarikan diri semasa pemeriksaan di hadapan sebuah rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun Salak, Salak Utara, di sini pada jam 12.20 tengah hari, 27 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding sama, tertuduh bersama tiga rakan yang lain turut didakwa atas pertuduhan berkaitan dadah.

Tertuduh bersama Ahmad Kamil Ismail, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini pada jam 8.33 malam hari sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan dan dikenakan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara Muhammad Fadzli Ahmad, 43, dan Mohd Azudin Ab Ghani, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 28.19 gram di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa memiliki dadah jenis heroin masing-masing seberat 0.38 gram dan 0.62 gram di tempat dan waktu yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Norhabsarina membenarkan Ahmad Kamil diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala tiga tertuduh lain pula tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula semua kes berkaitan dadah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala semua tertuduh diwakili Peguam Hennie Soraya Hanafi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, media melaporkan, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki disyaki pengedar dadah selepas lelaki terbabit bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan secara melulu sehingga hampir melanggar seorang anggota polis.