Selangor komited kukuhkan perpaduan kaum

Dr Siti Mariah
Dr Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri telah menubuhkan satu portfolio baru iaitu Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor untuk melihat seluruh rakyat di Selangor dapat hidup secara harmoni, berintegrasi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri akan membangunkan Dasar Perpaduan Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2020-2025, di mana dasar ini diwujudkan untuk merencanakan usaha integrasi dalam kalangan masyarakat ke arah mencapai matlamat kesatuan dan kesepaduan rakyat di negeri ini.

"Kerajaan negeri juga akan menubuhkan Majlis Perpaduan dan Integrasi Negeri Selangor (MaPINS) yang akan menyelia pelaksanaan Dasar Perpaduan Negeri Selangor serta membuat syor tentang perkara-perkara yang berhubung dengan isu-isu perkauman, polarisasi dan keharmonian kaum.

"Selain itu, Skuad Selangor Sepadu (3S) dijenamakan semula daripada Program Sukarelawan Jiran Baik yang sebelum ini digerakkan di setiap Parlimen bagi melaksanakan program-program integrasi dan silang budaya antara kaum.

"Kerajaan negeri juga akan sentiasa bekerjasama dalam menggerakkan program-program yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menerusi pertubuhan sukarela iaitu Rukun Tetangga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Lai Wai Chong (PH-Teratai) mengenai peranan kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan yang semakin kritikal akibat isu-isu perkauman yang berbangkit.

Katanya, di sebalik kepelbagaian kaum, agama dan budaya, Selangor yang juga dikenali sebagai ‘Mini Malaysia’ sudah tentu tidak terlepas daripada isu rasisme.

"Berdasarkan statistik tahun 2019, jumlah penduduk di Selangor mengikut komposisi kaum melibatkan Melayu/ Bumiputera sebanyak 3.53 juta orang (54 peratus), Cina 1.57 juta orang (24 peratus), India 731 ribu orang (11 peratus) dan penduduk bukan warganegara Malaysia sebanyak 649 ribu orang (9 peratus).

Artikel Berkaitan:

"Budaya menyemarakkan api perkauman oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dilihat semakin membarah kebelakangan ini menyebabkan masyarakat yang dahulunya hidup dalam keadaan harmoni tidak lagi dapat berinteraksi secara positif.

"Ternyata api perkauman ini telah menimbulkan rasa curiga, sangsi dan saling tidak percaya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam sesebuah komuniti, bagaimanapun kita yakin bahawa Selangor mempunyai ramuan tersendiri untuk mencorakkan pembinaan citra negara bangsa," katanya.