Najib terus gesa kerajaan benarkan pengeluaran KWSP

Tangkap layar Facebook Najib
Tangkap layar Facebook Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak terus menggesa kerajaan agar membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengharungi tekanan hidup kesan daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, dalam masa sama kerajaan juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan caruman KWSP rakyat dapat menjana pulangan lebih tinggi pada masa depan.

“Sebuah kerajaan yang prihatin perlu lebih fokus kepada mencari jalan untuk memulihkan dan menambah simpanan usia tua golongan terdesak selepas krisis Covid berakhir, bukan untuk menafikan hak pencarum untuk mengakses wang simpanan mereka pada masa mereka paling terdesak.

"Sebuah kerajaan mempunyai kuasa dan pengaruh besar untuk memastikan tabung-tabung rakyat menjana keuntungan serta pulangan yang lebih tinggi pada hari (depan) kelak,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sukar untuk kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan akaun 1 KWSP kerana ia untuk simpanan di usia tua mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Nufam minta Muhyiddin teliti semula pengeluaran KWSP

Dalam pada itu, isu pengeluaran caruman KWSP juga semakin hebat diperkatakan terutamanya menjelang pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Mengulas lanjut Najib berkata, banyak negara sudah pun membenarkan pencarum menggunakan simpanan tabung usia tua bagi membantu mereka mengatasi kesesakan kewangan kerana ekonomi jatuh merudum.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara negara-negara meluluskan atau menggalakkan pengeluaran wang dari tabung usia tua untuk pencarum terdesak pada masa Covid-19 termasuk Australia, Iceland, Peru, Chile Portugal, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Ada yang sudah luluskan pengeluaran kali kedua. Namun kebanyakan negara-negara tersebut juga meletakkan syarat bahawa pencarum perlu mengemukakan bukti mereka hilang sumber pendapatan atau keadaan kewangan mereka sudah kritikal.

“Jika alasan diberi pencarum ialah untuk bayar deposit bagi X50 sebab kereta itu lawa atau nak beli iPhone 12, mereka akan terus bakul sampahkan permohonan,” tambahnya.