Wanita Pertama Zimbabwe nafi seludup emas

Gambar fail menunjukkan Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa dan isterinya, Auxillia Mnangagwa (kanan). - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa dan isterinya, Auxillia Mnangagwa (kanan). - Foto AFP
A
A
A

HARARE - Wanita Pertama Zimbabwe, Auxillia Mnangagwa menafikan terlibat dalam sebarang percubaan untuk menyeludup emas keluar dari negara tersebut selepas namanya disebut dalam satu dokumen sebuah mahkamah berhubung kes tersebut.

Isteri kepada Presiden Emmerson Mnangagwa itu dan seorang anak lelaki mereka, Collins sebelum ini disebut di mahkamah sebagai pemilik emas seberat enam kilogram yang ditemui dalam beg tangan seorang ketua persatuan perlombongan, Henrietta Rushwaya ketika beliau cuba meninggalkan negara berkenaan.

Rushwaya yang merupakan Ketua Persekutuan Perlombongan Zimbabwe ditangkap di sebuah lapangan terbang Harare pada 26 Oktober lalu ketika beliau mahu menaiki sebuah pesawat ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Enam orang lagi termasuk beberapa pegawai keselamatan negara yang bertugas di lapangan terbang tersebut juga telah ditangkap berhubung kes berkenaan.

"Saya tidak berurusan atau terlibat dengan Rushwaya dalam bentuk perbuatan haram. Jika terdapat sebarang bukti jenayah yang menentang saya, saya mencabar polis supaya mengemukakannya tanpa perasaan bimbang," katanya dalam satu kenyataan.

Namanya disebut sebagai pemilik emas itu ketika soal siasat dilakukan ke atas Rushwaya dan beberapa pegawai lapangan terbang yang membantunya.

Pihak perisikan telah membantu wanita berkenaan untuk melepaskan diri daripada pemeriksaan keselamatan dengan membenarkannya berjalan melalui lorong untuk kakitangan diplomatik.

Bagaimanapun, para pegawai lapangan terbang menahan Rushwaya dan memaksanya melalui pemeriksaan keselamatan standard sebelum menemui emas tersebut di dalam beg tangannya.

Artikel Berkaitan:

Ketika disoal siasat, suspek tersebut berkata, Collins sepatutnya menghantar emas berkenaan ke Dubai.

Dalam pada itu, kerajaan Zimbabwe menafikan dakwaan berkenaan.

Menteri Penerangan, Monica Mutsvangwa semalam berkata, laporan jahat itu yang melibatkan nama isteri Presiden merupakan satu serangan yang diselaraskan dengan baik yang bertujuan untuk menyebabkan penduduk Zimbabwe bangkit melakukan tunjuk perasaan.

Rushwaya masih menunggu keputusan mengenai permohonan jaminannya. Tangkapannya berlaku ketika pihak berkuasa Zimbabwe berusaha membanteras penyeludupan emas yang dianggarkan bernilai AS$100 juta (RM415,500 juta) sebulan di negara itu. - AFP