X

Kindly register in order to view this article
!

Prosiding kes Mahkamah Syariah Selangor dalam talian

Gambar hiasan.
A
A

SHAH ALAM - Pihak yang mempunyai prosiding kes di Mahkamah Syariah Selangor boleh memilih untuk meneruskan pendengaran kes mereka secara dalam talian bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah itu sekali gus membolehkan lebih banyak kes dapat didengar pada setiap hari.

Menurutnya, buat masa ini Mahkamah Syariah Selangor tidak boleh menampung kehadiran terlalu ramai pelanggan secara fizikal dalam satu-satu masa bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Antara perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan ialah wakalah, afidavit, Majlis Sulh, perbicaraan dan sebutan kes yang boleh dibuat melalui sidang video.

"Perkhidmatan ini boleh digunakan dengan mengemukakan permohonan kepada pendaftar dan dengan persetujuan pihak-pihak yang terlibat," katanya.

Katanya, inisiatif mewujudkan beberapa perkhidmatan termasuk pendengaran kes secara dalam talian ini telahpun dilaksanakan di Mahkamah Syariah Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.

"Jakess komited untuk memastikan agar perkhidmatan kepada masyarakat dapat diteruskan walaupun ketika Covid-19 menerusi perkhidmatan dalam talian.

"Namun usaha ini kurang mendapat sambutan kerana pihak-pihak lebih cenderung untuk hadir secara fizikal di mahkamah," katanya.

Tambahnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mahkamah tidak dapat beroperasi secara penuh berikutan keperluan untuk mewujudkan penggiliran jadual bekerja yang bertujuan untuk mengurangkan kehadiran pegawai dan kakitangan di pejabat.

"Atas sebab itu, Jakess terpaksa membuat penjadualan semula kes-kes yang telah ditetapkan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB berkuat kuasa.

"Jakess berharap mana-mana pihak yang telah mempunyai tarikh pendengaran kes dalam tempoh tersebut agar berbincang dengan pihak satu lagi agar bersetuju untuk kes mereka disebut atau dibicarakan secara dalam talian," katanya.

Katanya, persetujuan kedua-dua pihak adalah penting bagi mengelakkan berlakunya pertikaian terhadap prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Untuk rekod, sepanjang tempoh PKPB ini berkuat kuasa, Mahkamah Syariah di seluruh Selangor telah melaksanakan beberapa prosiding secara dalam talian melalui sidang video.

Kebanyakan permohonan yang diterima bagi pengendalian prosiding secara dalam talian adalah disebabkan oleh kedudukan pihak-pihak yang berada di luar Selangor atau di luar negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!