Strategi tepat perlu untuk atasi ketidakseimbangan tenaga kerja

Malaysia perlu menggubal satu strategi tuntas bagi mengatasi ketidakseimbangan tenaga kerja antara sektor ekonomi negara ketika wabak Covid-19 melanda.
Malaysia perlu menggubal satu strategi tuntas bagi mengatasi ketidakseimbangan tenaga kerja antara sektor ekonomi negara ketika wabak Covid-19 melanda.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu menggubal satu strategi tuntas bagi mengatasi ketidakseimbangan tenaga kerja antara sektor ekonomi negara, kata Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, lebihan tenaga kerja perlu disalurkan kepada sektor yang mengalami kenaikan permintaan pekerja secara mendadak.

Menurutnya, wabak Covid-19 memberi durian runtuh kepada sesetengah perniagaan seperti makanan, e-dagang, khidmat logistik dan penghantaran, khidmat pembersihan dan pembasmian kuman, teknologi digital, serta internet dan komunikasi yang menyaksikan pertambahan signifikan urus niaga perniagaan.

Justeru, katanya, maklumat lebihan penawaran tenaga kerja yang terkumpul dalam pangkalan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan maklumat permintaan tenaga kerja perlu diselaraskan agar dapat dipadankan.

“Landskap ekonomi global dan domestik juga diramal akan berubah dengan lebih radikal dalam jangka masa sederhana. Dalam proses tersebut, pasaran buruh di Malaysia akan terus terkesan dengan lebihan pekerja dalam sesetengah sektor akibat aktiviti ekonomi yang terjejas.

“Lebihan buruh di sini tidak terhad kepada pekerja yang diberhentikan dan menganggur tetapi juga melibatkan mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, dikurangkan jam bekerja dan dipotong gaji, serta golongan bekerja sendiri yang tiba-tiba hilang mata pencarian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media secara maya mengenai penerbitan laporan berkala KRI - Work in an Evolving Malaysia: The State of Households 2020 Part II hari ini.

Nor Mohamed berkata, penting untuk negara melancarkan Dasar Pasaran Buruh Aktif untuk mengatasi ketidaksepadanan kemahiran pekerja dalam sektor asal kepada sektor baharu.

Artikel Berkaitan:

“Latihan peningkatan kemahiran, latihan kemahiran semula dan kemahiran silang yang ditawarkan oleh pelbagai agensi seperti Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRDF), Perkeso, SME Corp, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Protégé perlu digerakkan secara intensif bagi memenuhi keperluan ini.

“Sekiranya peralihan pekerja kepada sektor baharu ini bersifat sementara, jalan tengah boleh difikirkan agar terma kontrak pekerjaan disertakan dengan ‘recall clause’ supaya majikan asal boleh mendapatkan semula tenaga kerja mereka apabila perniagaan semakin pulih.

“Pendek kata, kerjasama dan penyelarasan antara agensi yang menawarkan perkhidmatan kepada pekerja dan majikan di Malaysia perlu disegerakan dengan pelan tindakan yang praktikal,” jelasnya.

Beliau berkata, krisis Covid-19 juga telah mendedahkan beberapa kelompongan dalam beberapa sektor penting di Malaysia yang perlu dimantapkan, antaranya sektor kesihatan dan perubatan, makanan, pendidikan, komunikasi dan pendidikan.

Justeru, Nor Mohamed berkata, perlunya jaminan sektor kesihatan dan perubatan mempunyai kapasiti yang mencukupi dalam menghadapi wabak penyakit berskala besar pada masa depan dan memperkemaskan rantaian bekalan bagi sektor pertanian dan makanan.

“Sektor pendidikan pula perlu lebih bersedia dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran melalui internet tanpa melibatkan pertemuan dalam kelas biasa.

“Di samping mengukuhkan kualiti jalur lebar, masih banyak yang perlu dilakukan dalam membangunkan kandungan pelajaran dalam bentuk digital, melatih para guru dan pensyarah dengan teknologi digital, selain merapatkan jurang digital antara miskin-kaya dan bandar-desa agar tiada anak-anak yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata, penting keutamaan diberi bagi memastikan ketahapsediaan dan kemampuan sektor-sektor tersebut menghadapi krisis serupa pada masa depan yang mungkin akan timbul dengan lebih kerap dan lebihan tenaga kerja boleh disalurkan kepada industri penting ini.

Di samping itu, katanya, kejutan yang dibawa oleh Covid-19 turut memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan, industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta temasya sukan.

“Dalam situasi ini, pelaburan awam penting dalam memacu pertumbuhan melalui sumber ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti.

“Inilah masa yang paling sesuai untuk membangunkan sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, sektor penjagaan dan memperluaskan ekosistem digital ekonomi,” katanya.

Nor Mohamed berkata, usaha mempelbagaikan sumber ekonomi akan mengimbangi risiko ketidakstabilan akibat terlalu bergantung kepada beberapa sektor ekonomi sahaja.

Justeru, katanya, tenaga kerja yang baru memasuki pasaran buruh dan lebihan tenaga kerja sedia ada akan dapat diserap ke dalam aktiviti ekonomi baharu ini.

“Masyarakat Malaysia mempunyai daya tahan yang tinggi dalam menangani krisis Covid-19 sepertimana yang pernah kita harungi semasa krisis-krisis besar terdahulu.

“Walaupun dikatakan krisis ini berbeza dari segi sifat, skala dan durasi, pandangan jauh pemimpin dan penggubal dasar yang didokong melalui konsultasi dengan penjawat awam, pemikir negara, pemain industri, pekerja dan masyarakat awam akan memberi harapan dan peluang yang lebih cerah dalam memenangi perang Covid-19 ini,” katanya. - Bernama