X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Dua tahun kaut RM11 juta

Boon Keng (tiga dari kanan) menunjukkan salinan skrip yang diguna sindiket tersebut untuk memperdaya mangsa menggunakan tiga bahasa pada sidang media di IPK Perak di Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Polis berjaya memberkas 22 individu warga tempatan dipercayai ahli sindiket Macau Scam dalam satu operasi khas di sebuah kondominium di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, serbuan dibuat jam 5 petang di kediaman tersebut susulan laporan polis daripada seorang mangsa pada 19 Oktober lalu yang mengalami kerugian RM67,000 selepas menerima panggilan daripada suspek.

Menurutnya, suspek menyamar sebagai pegawai dari Pos Laju dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan memperdaya mangsa mengatakan dia terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM148,000 dan mengugut untuk menangkap mangsa.

"Mangsa yang takut dan bimbang akaun bank dibekukan bertindak membuat dua pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza iaitu pertama sebanyak RM43,000 manakala kali kedua berjumlah RM24,000.

"Selepas memindahkan RM67,000 itu, mangsa baru menyedari dia telah ditipu dan kemudian membuat laporan polis," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, IPK Perak, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil risikan selama seminggu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, IPK Perak dan IPK Bukit Aman berjaya menahan kesemua suspek berusia di antara 18 hingga 27 tahun di dalam kondominum tersebut.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 34 unit telefon bimbit pelbagai jenis, tiga unit komputer riba, 25 unit iPad, satu unit tab dan sebuah kereta yang digunakan untuk tujuan penipuan tersebut.

Jelasnya, berdasarkan siasatan, pihak polis percaya sindiket yang telah beroperasi selama dua tahun itu bertanggungjawab ke atas 76 kes penipuan sindiket Macau Scam melibatkan jumlah kerugian RM11 juta.

"Di dalam iPad tersebut kita telah temui skrip yang digunakan oleh ahli-ahli sindiket ini untuk menipu mangsa dan skrip ini ditulis dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Ini menunjukkan bahawa ahli-ahli sindiket adalah terlatih.

"Sindiket sebelum ini dipercayai melakukan aktiviti penipuan tersebut di negara luar. Mereka telah balik ke Malaysia berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dengan menyasarkan modus operandi mereka ke atas rakyat Malaysia.

"Ini merupakan kali pertama polis menumpaskan sindiket Macau Scam tempatan yang melakukan penipuan ke atas mangsa-mangsa di Malaysia. Sebelum ini tangkapan polis melibatkan sindiket di Malaysia tetapi sasaran mereka adalah mangsa di luar negara seperti China, Taiwan, Hong Kong dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pihak polis juga percaya sindiket tersebut juga mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan di negara-negara lain.

Jelasnya, kesemua suspek yang direman selama empat hari sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan akan disambung reman hari ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Boon Keng turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terpedaya dengan mana-mana panggilan meminta pemindahan wang ke akaun lain untuk tujuan siasatan pihak polis.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayan mana-mana panggilan yang mencurigakan atau menghubungi nombor mahupun mengikuti sebarang arahan daripada sindiket tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!