Covid-19: JBPM jalankan 1,337 proses sanitasi di Sabah

Pihak bomba bersiap sedia untuk melakukan proses sanitasi di bangunan kerajaan atau tempat awam di Sabah.
Pihak bomba bersiap sedia untuk melakukan proses sanitasi di bangunan kerajaan atau tempat awam di Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan sebanyak 1,337 proses sanitasi di seluruh negeri setakat ini.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, jumlah proses sanitasi itu direkodkan sejak Mac hingga 30 Oktober lalu.

"Proses sanitasi ini dilakukan di seluruh Sabah membabitkan bangunan kerajaan dan tempat awam menerusi permintaan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri yang dianggotai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jika ada yang diperlukan untuk disanitasi, kami akan lakukan proses sanitasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kamarulzaman Malik Abdullah
Kamarulzaman Malik Abdullah

Bagaimanapun, beliau berkata sejak berhadapan pandemik koronavirus (Covid-19) pihaknya menghadapi kekangan dari segi kekurangan anggota yang bertugas.

"Di seluruh Sabah kita mempunyai 25 balai bomba dan purata anggota yang bertugas setiap hari adalah seramai 295 anggota.

"Dalam satu balai, sebahagian pasukan bersiap sedia untuk panggilan kecemasan yang mengancam nyawa seperti kebakaran dan sebahagiannya akan bersedia untuk proses sanitasi.

Artikel Berkaitan:

"Memang terhad dari segi keanggotaan kerana jadual anggota yang bekerja adalah padat, 24 jam setiap hari mereka bertugas. Jadi untuk melaksanakan kedua-duanya, anggota tidak cukup," katanya.

Sehubungan itu, Kamarulzaman meminta masyarakat supaya memahami keadaan yang dihadapi pihak JBPM yang kini semakin bertambah dari segi bebanan kerja dan tugas.

"Ketika keadaan pandemik, tugas kita semakin bertambah. Jadi kita meminta masyarakat faham dalam keadaan pandemik ini panggilan kecemasan juga semakin tinggi.

"Sebab itu, kita minta masyarakat duduk di rumah kerana kalau mereka berada di luar, kemungkinan berlaku kecemasan antaranya kemalangan," katanya.