Influencer@JaPen platform salur maklumat

Program Influencer@JaPen di Melaka. Orang ramai dari seluruh negara masih boleh mengikuti program ini menerusi Facebook.
Program Influencer@JaPen di Melaka. Orang ramai dari seluruh negara masih boleh mengikuti program ini menerusi Facebook.
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Influencer@JaPen merupakan salah satu platform Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) untuk menyampaikan maklumat terus ke segenap lapisan masyarakat.

Pengarah Bahagian Media Siber JaPen, Rubaayah Osman berkata, Influencer@JaPen yang disiarkan menerusi laman Facebook JaPen membincangkan topik berkaitan dasar-dasar kerajaan dan isu semasa.

Menurutnya, isu kenegaraan dan patriotisme turut dikupas pada program tersebut oleh panelis yang pakar dalam bidang masing-masing.

“Biasanya kita undang satu atau dua panelis bagi membahaskan isu-isu berkenaan.

“Bagi memastikan topik yang dibincangkan lebih dekat dengan rakyat, kita juga mengupas isu-isu setempat,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Lebih menarik, kata Rubaayah, isu-isu setempat di sesebuah negeri diulas dalam bahasa atau loghat tempatan termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau yang merupakan penerbit rancangan itu berkata, Influencer@JaPen melibatkan kerjasama rakan strategik daripada kementerian dan agensi Persekutuan, kerajaan negeri, universiti awam dan badan bukan kerajaan.

“Malah, ada antara mereka datang kepada kita untuk mencadangkan isu-isu yang mahu diketengahkan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Influencer@JaPen dilihat sebagai platform terbaik untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada masyarakat secara lebih meluas tatkala negara sedang dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

Program Influencer@JaPen di Sarawak. Panelis turut mengupas isu-isu tempatan menggunakan loghat sesebuah negeri.
Program Influencer@JaPen di Sarawak. Panelis turut mengupas isu-isu tempatan menggunakan loghat sesebuah negeri.

“Jika sebelum ini kita turun ke lapangan untuk adakan program di sesebuah tempat, audiens sasaran hanya tertumpu di kawasan berkenaan.

“Namun, apabila kita lancarkan Influencer@JaPen secara dalam talian, kita dapati capaiannya lebih meluas kerana semua rakyat Malaysia boleh menontonnya di laman Facebook,” katanya.

Beliau memberitahu, sejak mula bersiaran pada 1 Jun lalu, Influencer@JaPen telah berjaya menerbitkan sebanyak 46 episod, sama ada secara langsung mahupun rakaman.

“Ia membuktikan rancangan ini diterima ramai dan mempunyai pengikut yang tersendiri.

“Kita turut mencatat rekod apabila salah satu episod yang disiarkan menerusi JaPen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat sebanyak 53,749 tontonan,” katanya.

Rubaayah berkata, Influencer@JaPen telah diatur siarannya sehingga penghujung tahun ini.

Ditanya mengenai sambutan, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada pelayar laman sosial.

“Kita tidak sangka telah melakukannya sejauh ini,” katanya sambil menambah, pihaknya merancang untuk memasukkan program tersebut dalam kalendar tahun hadapan.

Influencer@JaPen yang bersiaran selama 30 hingga 60 minit diterbitkan oleh Ibu Pejabat JaPen.

Kandungannya adalah berbeza mengikut negeri. Selain menyajikan isu semasa dan maklumat bermanfaat, elemen hiburan turut diselitkan dalam program tersebut.