X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

'Arwah sempat makan tengah hari bersama'

Isteri mangsa, Shamshira terpaksa dipapah dan dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Kampar sebaik proses bedah siasat selesai pagi tadi.
A
A

KAMPAR - "Sekelip mata sahaja dah tiada, sedangkan sebelum kejadian mereka sekeluarga sempat makan bersama," kata Normah Khalid, 66, ibu mentua kepada seorang pemandu treler yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Malim Nawar-Kota Bharu di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, Hafize Nizam Ali Supian, 30, bersama dua anak lelaki, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia di tempat kejadian selepas treler dinaiki mereka terbabas dan terbalik.

Hafize Nizam bersama dua anak lelakinya maut dalam nahas membabitkan sebuah treler di Gopeng malam tadi.
Hafize Nizam bersama dua anak lelakinya maut dalam nahas membabitkan sebuah treler di Gopeng malam tadi.

Sebelum kejadian, arwah dan isteri, Shamshira Mohd Norizin, 31, menghabiskan masa makan tengah hari bersama tiga anak mereka di sebuah restoran di Kampar.

Normah berkata, lima beranak itu datang ke restoran dari kediaman mereka di Langkap dengan kenderaan berasingan kerana Hafize Nizam mahu meneruskan perjalanan mengambil muatan simen di Gopeng.

"Pada mulanya arwah memang tak ada niat nak bawa dua anaknya itu, tetapi entah mengapa selepas selesai makan, mereka menangis-nangis nak ikut sama.

"Budak-budak kan, mungkin mereka teruja nak naik treler, kalau ikutkan sebelum ini, mereka tak pernah pun ikut ayah mereka kerja," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar, di sini hari ini.

Gambar kenangan keluarga Allahyarham Hafize Nizam.
Gambar kenangan keluarga Allahyarham Hafize Nizam.

Dia berkata, mereka menerima panggilan kejadian sekitar jam 10.30 malam dan bergegas ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan kemalangan itu.

"Mak cik tak sanggup nak tengok lama-lama, anak mak cik (isteri arwah) pun dah tidak keruan, menangis dan meraung melihat keadaan treler yang remuk.

"Kami tunggu dekat tiga jam di lokasi dan tengok sendiri semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Normah berkata, anak bongsu arwah, Adeeb Hud, 2, ada bertanya di mana ayah dan dua abangnya, tetapi hanya mampu mengatakan mereka semua sedang tidur.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah dan dua cucunya itu pada Sabtu lepas di kediamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan.

"Arwah seorang menantu yang baik dan suka membantu ahli keluarga yang lain, mak cik pun memang rapat dengan cucu-cucu sebab pagi petang siang malam mereka selalu datang bermain di rumah.

Anak bongsu, Adeeb Hud mengesat air mata ibunya semasa menunggu proses bedah siasat selesai di Unit Forensik Hospital Kampar hari ini.
Anak bongsu, Adeeb Hud mengesat air mata ibunya semasa menunggu proses bedah siasat selesai di Unit Forensik Hospital Kampar hari ini.

"Apa pun kami reda dengan pemergian mereka dan anggap ini satu ujian buat anak mak cik," katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan hari ini.

Isteri mangsa enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dan dilihat berada dalam keadaan tidak bermaya.

Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dengan bantuan balai Kampar malam tadi.
Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dengan bantuan balai Kampar malam tadi.

Beberapa ahli keluarga terpaksa memapah dan membawanya keluar dari pekarangan unit forensik sebaik proses bedah siasat selesai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu, Gopeng ke Malim Nawar selepas mengambil simen di sebuah kilang untuk dihantar ke Melaka.

Bagaimanapun katanya, tiba di tempat kejadian, treler yang dipandu mangsa terbabas di sebelah kiri jalan yang merupakan jalan selekoh sebelum melanggar tiang elektrik serta besi penghadang jalan.

"Pelanggaran itu menyebabkan kepala treler terbabit terbalik, semua mangsa tersepit di bahagian hadapan treler dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Isteri mangsa, Shamshira terpaksa dipapah dan dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Kampar sebaik proses bedah siasat selesai pagi tadi.
Isteri mangsa, Shamshira terpaksa dipapah dan dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Kampar sebaik proses bedah siasat selesai pagi tadi.

"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mereka dari treler tersebut dengan bantuan beberapa jentera berat," katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat di Hospital Kampar pagi ini mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan teruk akibat kemalangan.

"Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa, dua kanak-kanak maut treler terbalik


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!