Harap Fitri buat comeback!

Faizal (barisan tengah, kanan) dan Fitri (barisan tengah, kiri) antara pemain berpengaruh skuad kebangsaan sejak 10 tahun lalu.
Faizal (barisan tengah, kanan) dan Fitri (barisan tengah, kiri) antara pemain berpengaruh skuad kebangsaan sejak 10 tahun lalu.
A
A
A

PENYERANG berbisa, Faizal Saari melihat dari sudut positif terhadap keputusan pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj yang menggugurkan adiknya, Fitri daripada skuad hoki senior kebangsaan.

Faizal berkata, sebagai ketua jurulatih, Arul mempunyai penilaian tersendiri sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mahu memilih atau mengetepikan mana-mana pemain untuk membarisi Malaysian Tigers.

“Sebenarnya saya tak ada banyak untuk diperkatakan tentang hal ini (pengguguran Fitri) sebab ia adalah keputusan daripada ketua jurulatih. Beliau lebih tahu mengapa keputusan itu dibuat.

“Saya harap Fitri tidak terkesan dengan keputusan ini. Teruskan berlatih seperti biasa untuk dapatkan semula momentum terbaik sebelum Liga Hoki Kebangsaan (MHL) bermula awal tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sabtu lalu, Arul mengejutkan peminat hoki tanah air apabila nama Fitri yang dianggap antara perancang terbaik Malaysian Tigers tidak ada dalam senarai pendek 30 pemain.

Sebaliknya, Arul menyenaraikan semula Faizal bagi memperkuat cabaran skuad kebangsaan selepas gandingan adik beradik itu digugurkan oleh bekas pengendali Malaysian Tigers, Roelant Otlmans awal tahun ini.

Keputusan Arul tidak menyenaraikan Fitri menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat mahupun pemerhati sukan negara yang menganggap pemain kelahiran Terengganu berusia 27 tahun itu masih mampu memberi impak kepada Malaysian Tigers.

Namun, Arul memaklumkan bahawa Fitri masih berpeluang kembali disenaraikan jika menunjukkan prestasi memberangsangkan pada saingan MHL awal tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Faizal, 29, yang muncul penjaring terbanyak Piala Tun Abdul Razak musim ini percaya Fitri mampu kembali menyarung jersi kebangsaan jika berjaya mempertingkatkan prestasinya.

“Sebagai abang dan juga pemain senior dalam pasukan kebangsaan, saya juga harap Fitri boleh buat comeback nanti. Bukan dia saja tetapi pemain-pemain lain yang turut digugurkan.

“Dia tahu siapa dia dan kita semua pun tahu siapa dia. Dia pemain yang bagus, cuma ketika ini dia perlu bersabar. Saya akan terus memberikan sokongan kepadanya dan berharap dia akan kembali mewakili skuad kebangsaan,” ujarnya.