X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Sisa klinikal pesakit Covid-19 dilupus di loji pelupusan khas

Sisa klinikal pesakit Covid-19 dilupuskan di loji pelupusan khas yang mempunyai teknologi pengawalan pencemaran alam sekitar. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sisa buangan yang digunakan untuk mengendalikan pesakit koronavirus (Covid-19) atau sisa klinikal dilupuskan di loji pelupusan sisa klinikal.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, loji pelupusan itu mempunyai teknologi pengawalan pencemaran alam sekitar.

"Sejak wabak Covid-19 melanda negara, secara keseluruhannya sisa klinikal meningkat sebanyak 20 peratus.

"Ia dikelaskan sebagai sisa buangan terjadual yang memerlukan prosedur pengendalian serta pelupusan khas sebagaimana digariskan oleh Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya ketika sesi pertanyaan menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta Tuan Ibrahim menjelaskan sama ada kementerian itu bercadang mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri.

Cadangan itu kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah seperti pelitup muka, botol pembasmi kuman dan sarung tangan terutama di Sungai Klang sejak Mac tahun ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, di bawah peruntukan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Buangan Terjadual 2005, buangan seperti bahan-bahan plastik pakai buang yang dijana daripada fasiliti kesihatan atau pusat kuarantin Covid-19 yang diwartakan kerajaan dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod buangan terjadual SW 404 iaitu buangan patogenik, buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan.

Menurutnya, Perkhidmatan Pengurusan Sisa Klinikal di hospital kerajaan merupakan salah satu skop di bawah Penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) yang dilaksanakan syarikat konsesi yang dilantik kerajaan.

Katanya, syarikat itu perlu mempunyai lesen berdaftar di bawah JAS untuk pengoperasian, pengangkutan dan pelupusan sisa klinikal.

"Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 jika seseorang didapati telah menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan tersebut di premis yang bukan ditetapkan dan tidak dilesenkan oleh JAS tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000," katanya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, buangan seperti plastik pakai buang yang diguna pakai orang awam di premis seperti pasar basah, pasar raya, pejabat, kilang dan seumpamanya yang digunakan bagi tujuan perlindungan diri daripada jangkitan adalah dikategorikan sebagai buangan domestik dan tidak dikategorikan sebagai sisa klinikal.

Katanya, buangan tersebut dilupuskan sebagai buangan domestik (sisa pepejal) yang diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!