[VIDEO] Cemar Sungai Gong: Dua beranak mengaku tidak bersalah

Kin Sang (dua dari kanan) dan Wern Teik (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang dua minggu lalu.
Kin Sang (dua dari kanan) dan Wern Teik (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang dua minggu lalu.
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMASKINI] Seorang bapa dan anaknya yang juga pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya tanpa lesen ke Sungai Gong, Rawang dua minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Chai Kin Sang, 62, dan Chai Wern Teik, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dua beranak itu didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada FG Auto Parts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kesalahan didakwa dilakukan di premis berkenaan di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau-Batu Arang Rawang dekat sini antara 17 dan 19 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen di lokasi dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad tidak menawarkan ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh dengan alasan kes itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jika mahkamah mahu memberikan ikat jamin, beliau mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM2 juta seorang.

“Kadar itu adalah munasabah dengan alasan kedua-dua tertuduh seakan tidak kesal memandangkan kes pencemaran air pernah dilaporkan sebelum ini.

“Ini merupakan kes pencemaran kedua berlaku di Sungai Gong, Rawang maka tertuduh sepatutnya peka dan mengelak kejadian seumpama itu berlaku kerana menyebabkan bekalan air membabitkan enam juta pengguna terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Anak guam saya, Kin Sang berusia 62 tahun, baru sahaja menjalani pembedahan malah mengambil kira situasi pandemik dia merupakan orang berisiko tinggi dijangkiti penyakit berkenaan, manakala anaknya, Wern Teik perlu menanggung keluarga,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Maziah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM400,000 seorang dengan beberapa syarat tambahan.

Antaranya, mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan pada 16 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN:Dua suspek cemar Sungai Gong dituduh esok