80 mangsa banjir di Skudai dipindahkan ke PPS

Anggota bomba memindahkan penduduk selepas rumah mereka di Kampung Batu 10, Skudai, Johor Bahru dilanda banjir semalam.
Anggota bomba memindahkan penduduk selepas rumah mereka di Kampung Batu 10, Skudai, Johor Bahru dilanda banjir semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 80 penduduk Kampung Batu 10, Skudai di sini terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air semalam.

Hujan lebat yang bermula pada jam 4 petang mengakibatkan rumah yang berhampiran Sungai Skudai dinaiki air secara mendadak.

Keadaan bertambah buruk apabila air empangan terpaksa dilepaskan mengakibatkan air naik setinggi 1.2 meter di kawasan rumah penduduk berdekatan.

Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai dengan sebuah jentera, sebuah pacuan empat roda serta sebuah bot penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar berkata, terdapat beberapa keluarga terperangkap dalam rumah akibat paras air naik dengan cepat.

"Seramai 80 mangsa banjir berjaya diselamatkan dan dipindahkan menggunakan sebuah bot aluminium BBP Skudai ke kawasan lebih selamat.

"Mereka terdiri daripada 44 dewasa, 35 kanak-kanak dan satu lelaki orang kurang upaya (OKU). Semua mangsa dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, operasi memindahkan semua mangsa banjir turut dibantu sembilan anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 11 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 11 petugas Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi pemindahan semua mangsa banjir tamat pada jam 9.45 malam tadi, namun pemantauan masih terus dilakukan.