Pengeluaran KWSP tidak merugikan kerajaan

Gambar kecil: Nor Azira dan Baayah
Gambar kecil: Nor Azira dan Baayah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak akan mengalami sebarang kerugian jika membenarkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dicadangkan beberapa pihak baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nor Azira Ayob berkata, terdapat kaedah dan juga peluang yang boleh dikenal pasti kerajaan untuk memastikan kelangsungan ekonomi negara.

“Kerajaan tidak akan rugi dan sekiranya benarkan pengeluaran KWSP, tidak bermakna kita tiada peluang untuk pulihkan ekonomi kita.

“Contohnya, kerajaan boleh menyarankan caruman bulanan pihak majikan dan pencarum untuk dinaikkan sekiranya kita tidak lagi mengalami krisis penularan wabak Covid-19.

“Dengan mengambil langkah tersebut, ia dapat memulihkan dan meningkatkan kembali simpanan pada usia tua mereka nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, jika mekanisme tersebut dibenarkan pihak KWSP perlu membuat saringan kepada pencarum bagi memastikan hanya yang benar-benar memerlukan sahaja dibolehkan membuat pengeluaran.

“Bukan semua pencarum boleh membuat pengeluaran sesuka hati bagi mengelakkan penyalahgunaan wang caruman bagi bukan kegunaan yang penting.

“Kebenaran khas untuk pengeluaran akaun satu KWSP ini hanya perlu diberikan kepada individu yang berada dalam situasi sangat terbeban dan terdesak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemohon disarankan untuk memberikan bukti yang menunjukkan mereka berada dalam kesusahan sepanjang penularan wabak Covid-19.

Turut bersetuju dengan pendapat tersebut ialah penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba yang berkata pemilihan penerima perlulah khusus kepada golongan yang terjejas.

“Ia tidak perlu spesifik kepada kumpulan B40 mahupun M40 kerana ada antara mereka yang masih bekerja. Untuk yang itu, mereka tidak seharusnya dibenarkan.

“Apa yang saya maksudkan sebagai golongan yang terjejas ialah mereka yang dibuang kerja ataupun bagi peniaga terjejas,” katanya.

Baayah berkata, kaedah pengeluaran tersebut tidak seharusnya diberikan sebanyak RM10,000 sekali gus.

“Ia sepatutnya diberi secara bulanan sebagai contoh ialah pengeluaran sebanyak RM400 ke RM500 setiap bulan sehingga situasi kewangan mereka kembali stabil,” ujarnya.