Elak keluar masuk Kuching dua minggu ini

Penduduk Sarawak dinasihatkan agar tidak melakukan perjalanan keluar masuk ke kawasan zon merah khususnya di daerah Kuching dalam tempoh dua minggu ini. Gambar kecil:Amar Douglas Uggah Embas
Penduduk Sarawak dinasihatkan agar tidak melakukan perjalanan keluar masuk ke kawasan zon merah khususnya di daerah Kuching dalam tempoh dua minggu ini. Gambar kecil:Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

KUCHING - Penduduk Sarawak dinasihatkan agar tidak melakukan perjalanan keluar masuk ke kawasan zon merah, khususnya di daerah Kuching dalam tempoh dua minggu ini, susulan peningkatan kes positif Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Memandangkan kes-kes positif yang tinggi telah dilaporkan di daerah Kuching yang melibatkan kawasan kafe dan restoran, maka penduduk di daerah Kuching turut dinasihatkan untuk membeli makanan secara bungkus.

“Selain itu, majikan dan ketua jabatan adalah digalakkan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah dalam tempoh dua minggu ini sehingga arahan terbaharu dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sarawak menyampaikan ucapan penghargaan kepada penyumbang bantuan bagi penduduk Kampung Haji Baki yang berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan taktik penipuan oleh pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan mendakwa mereka mengumpul derma untuk membantu penduduk kampung berkenaan.

“Bagi badan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian yang ingin mengumpul derma, mereka harus mendapat izin daripada pejabat Residen Kuching terlebih dahulu supaya sumbangan dapat diselaraskan dengan teratur,” katanya.

Mengenai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 9 hingga 18 November ini, beliau berkata, Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom akan menghadiri mesyuarat harian JPBN Sarawak esok bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk semua yang terlibat dalam persidangan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, semua ADUN termasuk dirinya telah menerima surat arahan mewajibkan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 pada 6 dan 7 November, sebagai salah satu syarat sebelum dibenarkan menghadiri persidangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan umumkan berkaitan perkara ini esok. Kami akan meminta Pele kerana beliau adalah pihak yang terbaik menentukan SOP di persidangan DUN,” katanya. - Bernama