X

Kindly register in order to view this article
!

Bomba berdepan cabaran selamatkan mangsa banjir

JBPM Kelantan menghadapi cabaran baharu dalam operasi menyelamat mangsa banjir pada musim tengkujuh tahun ini.Gambar hiasan.
A
A

KOTA BHARU - Susulan pandemik Covid-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menghadapi cabaran baharu dalam operasi menyelamat mangsa banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Md Salleh Sarbini berkata, kali ini segala persediaan perlu dilakukan bagi mengelak jangkitan dan cabarannya adalah bagaimana mahu memastikan mangsa yang perlu dipindahkan itu bebas daripada wabak Covid-19 sebelum dipindahkan.

Selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Md Salleh menjelaskan, setiap anggota yang ditugaskan dalam operasi menyelamat mangsa banjir perlu memeriksa suhu badan mangsa serta memastikan mereka sentiasa memakai pelitup muka termasuk anggota JBPM.

"Kami juga akan mempraktikkan penjarakkan fizikal ketika membawa mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengelak jangkitan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu jumlah mangsa yang akan ditempatkan di PPS kemungkinan dikurangkan atas faktor SOP termasuk penjarakkan fizikal, namun, dijangkakan pihak berkuasa bakal menambah PPS bagi menempatkan kesemua mangsa banjir.

Mengulas lanjut, Md Salleh berkata, setakat ini seramai 800 anggota JBPM Kelantan bersiap siaga untuk tugasan menyelamat selain kelengkapan logistik seperti lori dan bot turut disediakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat pula berkata, semua Ketua Polis Daerah (KPD) di Kelantan dibenarkan untuk menambah bilangan sekatan jalan raya mengikut keperluan di daerah masing-masing dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri itu.

Setiap sekatan jalan raya akan melakukan beberapa proses tapisan termasuk ujian calitan dan siasatan terhadap individu, sama ada mereka datang dari kawasan Zon Merah atau sebagainya.

"Pemeriksaan seumpama itu adalah perlu kerana kami tidak mahu mereka yang dikesan bergejala ataupun positif menjangkiti penduduk di sini," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKKN) Khas Kali Ke-17 di sini, hari ini yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, setakat ini, tiga sekatan jalan raya statik iaitu di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli terus dilaksanakan bagi mengesan individu yang datang dari Zon Merah seperti Kedah dan Selangor.

Dalam perkembangan sama, Shafien berkata, sejak April hingga 31 Oktober lepas sebanyak 1,205 kompaun dikeluarkan di Kelantan membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka paling tinggi iaitu 504 kompaun. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!