Pelajar Malaysia di Midwest dalam keadaan selamat

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Education Malaysia Chicago mengesahkan kesemua pelajar Malaysia di sekitar Midwest, Amerika Syarikat (AS) berada dalam keadaan selamat selamat walaupun negara itu kini sedang berdepan dengan keadaan cuaca sejuk melampau yang jarang berlaku.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), keadaan cuaca yang dikenali sebagai fenomena Vorteks Kutub itu berpotensi mengancam keselamatan dan nyawa.

“Education Malaysia Chicago akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan para pelajar supaya sentiasa berada di kawasan selamat dan tertutup sepanjang tempoh cuaca sejuk melampau ini,” katanya.

Fenomena Vorteks Kutub membawa angin sejuk melampau menyebabkan suhu menurun sehingga bawah paras beku 53 darjah Celcius dan keadaan tersebut boleh menyebabkan seseorang terkena gigitan fros jika terdedah di tempat terbuka selama 10 minit.

Pihak berkuasa di Illinois telah mengeluarkan perintah darurat bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Kebanyakan syarikat dan premis perniagaan mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah, selain banyak sekolah dan institusi pendidikan ditutup.

Sehubungan itu, Education Malaysia Chicago memberi jaminan untuk terus memantau kebajikan dan keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di sekitar Midwest melalui persatuan-persatuan pelajar Malaysia di universiti dan institusi berkenaan.

Artikel Berkaitan: