Konstabel maut kejar penjenayah: Polis tahan empat suspek

Ayob Khan menunjukkan gambar suspek pada sidang media di IPK Johor di Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek pada sidang media di IPK Johor di Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menahan tiga suspek lelaki dan seorang wanita susulan penemuan sebuah Perodua Myvi berwarna ungu yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang anggota polis maut di Jalan Kangkar Tebrau, pagi semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 27 tahun itu ditahan menerusi tiga serbuan berasingan di Kampung Melayu Seelong, Senai dan Kampung Melayu Pandan sekitar jam 2 petang hingga 9 malam.

Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama iaitu wanita yang juga seorang janda anak dua berusia 27 tahun pada jam 2 petang semalam di Kampung Melayu Seelong, tiga lagi suspek berjaya diberkas polis termasuk pemandu Perodua Myvi berusia 25 tahun.

"Wanita yang bekerja kilang itu telah menyewa Perodua Myvi terbabit daripada sebuah syarikat sewa kereta. Dia seterusnya memberi pinjam kereta itu kepada kekasihnya yang juga suspek berusia 24 tahun.

"Mengikut keterangan daripada wanita itu, tiga hari sebelum kejadian semalam, mereka semua mengambil dadah jenis methamphetamine.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan dua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, berdasarkan keterangan daripada pemandu Perodua Aruz yang turut terbabit dalam kemalangan itu, wajah pemandu Perodua Myvi sewaktu kejadian kemalangan semalam sama dengan wajah suspek berusia 25 tahun.

Artikel Berkaitan:

Suspek yang ditahan terbabit dengan kemalangan menyebabkan seorang anggota polis maut di Jalan Kangkar Tebrau, Johor Bahru semalam.
Suspek yang ditahan terbabit dengan kemalangan menyebabkan seorang anggota polis maut di Jalan Kangkar Tebrau, Johor Bahru semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam Perodua Myvi itu, polis menjumpai dua botol alat digunakan untuk menghisap syabu.

"Kesemua suspek ditahan empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15( 1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Orang awam diminta mematuhi undang-undang ditetapkan dengan memberi kerjasama kepada polis sekiranya diminta memberhentikan kenderaan mereka," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, Nicholester Dadup Unggat, 20, maut manakala rakan setugas Mohd Fadhirul Musa, 32, cedera parah selepas kereta peronda MPV Polis dinaiki mereka terlibat kemalangan sewaktu mengejar sebuah Perodua Myvi di Jalan Kangkar Tebrau.

Kenderaan MPV itu telah bergesel dengan Perodua Myvi sebelum berlanggar dengan sebuah Perodua Aruz.

Seterusnya kira-kira jam 10 pagi semalam, polis menemui Perodua Myvi berwarna ungu itu di tepi jalan Kampung Pandan, Taman Johor Jaya yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi nahas.

ARTIKEL BERKAITAN: Konstabel polis maut ketika kejar penjenayah

Keluarga konstabel polis maut nahas masih terkejut