Pengundi muda antara cabaran utama Pas, kata Mohd Amar

Mohd Amar semasa sidang media di Pameran 3 Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri di Kota Bharu.
Mohd Amar semasa sidang media di Pameran 3 Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengakui pengundi muda adalah antara cabaran utama yang harus diberikan perhatian bagi mengekalkan momentum sokongan kepada parti itu, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, generasi milenia yang ada kini bukanlah sebagaimana generasi sebelum ini yang akan mengundi berdasarkan parti pilihan mereka.

"Bukan mudah untuk mengekalkan rekod sedia ada ini dan banyak aspek yang kita kena lihat balik terutama dasar yang perlu disesuaikan dengan perkembangan dan suasana politik semasa.

"Cabaran terbesar ialah pola generasi muda atau milenia ini, mereka tidak akan memilih parti. Mereka undi apa yang ada di depan mereka. Bagi mereka, parti tidak penting. Ini yang kita kena posisikan dalam keadaan dan suasana moden masa kini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Amar meluangkan masa sejam ke Pameran 3 Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri di sini.

Mohd Amar (tengah) melihat barangan yang dipamerkan di Pameran 3 Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri di Kota Bharu.
Mohd Amar (tengah) melihat barangan yang dipamerkan di Pameran 3 Dekad Pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri di Kota Bharu.

Turut hadir, Exco Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman dan Pengarah Muzium Negeri, Ahmad Shargowi Derahman.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika mengulas mengenai pentadbiran Pas selama 30 tahun di Kelantan, Mohd Amar berkata, banyak kejayaan yang tidak boleh dilupakan beliau terutama untuk membentuk pemikiran masyarakat mengenai tanggapan yang sebelum ini tidak yakin dengan pentadbiran cara Islam.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu kita juga berjaya mendidik masyarakat bahawa ulama juga boleh menjadi pemimpin. Arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang tok guru (ulama), sama juga dengan Datuk Ahmad Yakob pun seorang tok guru. Cuma kita tidak panggil dengan gelaran tok guru.

"Ketiga pula alhamdulilah, sehingga kini kita sifar rasuah pentadbiran. Kita tidak ada masalah untuk kekalkan rekod ini di Kelantan asalkan semua pihak jaga kualiti sedia ada," katanya.