Pembangunan KL: Menteri tidak lagi boleh bebas campur tangan

Khalid menunjukkan kalendar Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019.
Khalid menunjukkan kalendar Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019.
A
A
A
PUTRAJAYA - Penghapusan kuasa mutlak menteri dalam merancang pembangunan dan memberi hak kepada kuasa demokrasi dalam mencorakkan Wilayah Persekutuan menjadi antara ‘hadiah’ bermakna buat warga Wilayah Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) ke-15 pada tahun ini.

Menerusi pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 (PTKL2020), Kuala Lumpur juga melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya 'master plan' diwartakan sekali gus membekukan sebarang perubahan perancangan pembangunan yang boleh dibuat sewenang-wenangnya sebelum ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata, sejak kerajaan bertukar tangan, pewartaan itu menjadi kejayaan besar yang boleh dibanggakan kerana pelan bandaraya tidak pernah diwartakan sebelum ini.

“Saya telah mewartakan pelan paling terkini iaitu pelan 2015 yang diguna pakai sehingga 2020.

“Saya pernah ditegur dan dinasihatkan supaya tidak mewartakan pelan ini kerana ia akan menghapuskan kuasa menteri itu sendiri, tetapi itulah sebabnya ada PTKL2020 dan pelan-pelan sepertinya bagi menentukan menteri tidak mempunyai kuasa yang mutlak yang memungkinkan pembangunan mengikut citarasanya.

“Tindakan mewartakan PTKL2020 merupakan satu tindakan yang boleh menyelamatkan banyak lagi kawasan belum disentuh daripada dibangunkan secara sewenang-wenangnya,” katanya ketika temubual khas sempena Sambutan Hari Wilayah 2019, baru-baru ini.

Beliau berkata, Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 akan dimulakan dan akan dilakukan dengan cara sepatutnya melibatkan semua pihak termasuk warga Kuala Lumpur dalam memuktamadkannya.

“Buat pertama kalinya juga ahli-ahli Parlimen akan duduk bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi merangka pelan pembangunan dengan penubuhan Majlis Menteri Wilayah. Berbeza sebelum ini apabila ahli-ahli parlimen langsung tidak diiktiraf dan tidak diberi peranan merancang Kuala Lumpur,” katanya.

Ibarat kerajaan negeri

Dalam pada itu, Khalid berkata, fungsi dan peranan Kementerian Wilayah begitu sinonim dengan sebuah kerajaan negeri dalam mengurus tadbir tiga wilayah di bawahnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada isu Kementerian Wilayah ini tidak relevan sebaliknya dengan adanya ‘kerajaan’ wilayah-wilayah ini, segala bentuk pembangunan dapat dipantau dengan lebih baik.

“Apabila kita ada tiga wilayah ini, ia mesti ada satu 'kerajaan' yang memantau ketiga-tiga wilayah ini. Jika tidak ia sebagai wilayah yang berasingan terkontang-kanting seorang diri.

“Ini akan menentukan pembangunan dapat dipantau oleh kementerian bukannya terbiar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata sesuai dengan konsep wilayah itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, portfolio Kementerian Wilayah juga kini telah ditambah iaitu pelan Malaysia dan landskap Malaysia

“Pelan Malaysia ini adalah perancangan pembangunan fizikal seluruh negara , memantau mana nak bina pelaburan, lapangan terbang dan sebagainya bagi ‘mikro planning’.

“Manakala landskap negara, berhubung dengan projek-projek landskap yang besar melibatkan penyediaan taman-taman setiap negeri seluas sekurang-kurangnya 200 ekar dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Sambutan tetap meriah

Sementara itu, Khalid berkata, Kementerian Wilayah memperuntukkan RM1.625 juta bagi sambutan HWP pada tahun ini, iaitu kurang 50 peratus berbanding peruntukan yang disediakan pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, pelbagai aktiviti masih lagi dirancang sepanjang bulan Februari bagi memeriahkan sambutan kali ke 15 ini bertemakan ‘Sayangi Wilayahku’.

“Sebanyak 21 program akan dijayakan bagi ketiga-tiga wilayah sepanjang bulan SHWP dengan memberi penekanan serta tumpuan kepada pengisian program aktiviti yang mempunyai elemen ‘kesejahteraan’ kepada komuniti.

“Semoga sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 Ini akan dapat memupuk rasa cinta dan sayang kepada Wilayah Persekutuan bagi mencapai harapan saya agar tema 'Sayangi Wilayahku’ tahun ini dapat menambah rasa sayang dan rasa cinta kepada Wilayah Persekutuan serta dapat kukuhkan keharmonian serta perpaduan warganya,” katanya.