Tidak boleh hina nabi walaupun atas nama kebebasan: Abdul Hadi

Hantaran status Abdul Hadi di Facebook berkaitan kenyataan Presiden Perancis yang dilihat cuba membuat provokasi kepada orang Islam dengan menyifatkan penghinaan kepada Rasulullah sebagai hak kebebasan bersuara.
Hantaran status Abdul Hadi di Facebook berkaitan kenyataan Presiden Perancis yang dilihat cuba membuat provokasi kepada orang Islam dengan menyifatkan penghinaan kepada Rasulullah sebagai hak kebebasan bersuara.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tiada sesiapa boleh menghina Nabi Muhammad SAW walaupun atas nama kebebasan.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertahankan tindakan seorang guru Sejarah, Samuel Paty yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa karikatur penghinaan kepada pelajarnya sebagai hak kebebasan bersuara.

Katanya, adakah Macron boleh menerima sekiranya dia dihina dengan sebegitu teruk, sudah tentu tidak.

"Sifat kebebasan sebegitu adalah provokasi terhadap umat Islam seluruhnya, apatah lagi dibenarkan untuk menghina Rasulullah SAW atas dasar kebebasan oleh kerajaan mereka. Inilah perbuatan melampau oleh sebuah kerajaan.

"Negara Perancis sendiri dalam sejarahnya pernah menjajah negara-negara Afrika seperti Senegal, Algeria, Maghribi, Mauritania, Syria dan Lubnan serta membunuh berjuta-juta orang Islam, bahkan ditangkap orang-orang Afrika untuk dijadikan hamba abdi dan dijual.

"Maka kita mesti protes dan bantah dengan sewajarnya tindakan oleh Presiden Perancis yang menghina Rasulullah SAW, namun tidaklah sehingga melampaui batas," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Samuel dilaporkan dibunuh dengan dipenggal kepalanya di pinggir kota Paris, Perancis pada 16 Oktober lalu selepas bertindak menayangkan beberapa karikatur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW kepada pelajarnya.

Macron bagaimanapun mempertahankan tindakan guru itu dan menyifatkan penghinaan dilakukan sebagai hak kebebasan bersuara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, protes dimaksudkan tidak bermakna orang Islam menentang seluruh rakyat Perancis kerana bukan semua rakyat Perancis bersikap sebegitu.

"Hanya mereka yang mengikut Macron yang kita tentang. Umat Islam mesti menjaga hubungan kemanusiaan dengan sebaik-baiknya.

"Kita mengambil langkah yang wajar dengan memboikot barangan keluaran Perancis sebagai protes terhadap penghinaan kepada Rasulullah SAW. Umat Islam wajib menentang perbuatan melampau ini bagi menunjukkan keimanan yang kasih kepada Rasulullah SAW," katanya.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, turut dilancarkan semalam, bantahan secara dalam talian terhadap penghinaan yang dibuat kepada Rasulullah SAW.