Remaja ditahan lenyek kaki polis

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang remaja ditahan selepas melanggar seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, remaja lelaki berusia 19 tahun itu bertindak demikian ketika cuba melarikan diri apabila didekati dua anggta polis di sebuah stesen minyak.

Menurutnya, sebelum kejadian, remaja tersebut bersama dua rakannya didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi 'zig zag' di lebuh raya tersebut.

"Remaja tersebut didekati anggota polis ketika berada di sebuah stesen minyak di Jalan Besar, Bagan Ajam. Salah seorang anggota polis telah memegang baju remaja tersebut di bahu sebelah kiri.

"Remaja itu yang terkejut lalu memulas pendikit minyak motosikalnya dipercayai untuk melarikan diri. Tindakan itu menyebabkan motosikalnya terpusing kuat lalu tayar belakang terkena pada ibu jari kaki kiri anggota polis tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, selepas kejadian tersebut, remaja itu berjaya ditahan oleh seorang lagi anggota polis yang berada di lokasi kejadian manakala dua lagi rakannya berjaya melarikan diri.

"Semakan mendapati, remaja tersebut tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Anggota yang cedera berusia 32 tahun disahkan mengalami patah jari kakinya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan melanggar anggota polis," katanya.

Artikel Berkaitan: