Pemandu lori disyaki bawah pengaruh dadah rempuh 4 kenderaan

Lori treler yang ditinggalkan suspek dijumpai di tepi Jalan Sri Bandi, Kemaman petang semalam. - Foto ihsan IPD Kemaman
Lori treler yang ditinggalkan suspek dijumpai di tepi Jalan Sri Bandi, Kemaman petang semalam. - Foto ihsan IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pemandu lori yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah merempuh empat kenderaan hingga menyebabkan kerosakan di lampu isyarat KM119 Jalan Kuala Terengganu- Kuantan (menghala ke Kuantan) di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang ketika lori treler jenis Isuzu dari arah Kuala Terengganu menghala Kuantan itu dipandu lelaki berusia 36 tahun.

"Sebaik tiba di lampu isyarat itu pemandu lori yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah datang dari arah belakang telah merempuh keempat-empat kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat di situ.

"Kemalangan menyebabkan MPV jenis Perodua Alza dipandu lelaki berusia 52 tahun; Nissan Grand Livina dipandu lelaki berusia 55 tahun; Toyota Estima dipandu lelaki berusia 33 tahun dan sebuah lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 37 tahun mengalami kerosakan di bahagian belakang dan hadapan kenderaan masing-masing.

"Mungkin terkejut dan takut dengan kejadian itu, suspek bertindak melarikan diri sebelum meninggalkan kenderaan dipandunya di tepi Jalan Sri Bandi, di sini iaitu lebih kurang 20 kilometer dari lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, hasil risikan dan maklumat, suspek berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Cheneh di sini, kira-kira jam 8 malam tadi sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.

Artikel Berkaitan: