Speaker cadang wujud 9 jawatankuasa pilihan khas baharu

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini mencadangkan pewujudan sembilan jawatankuasa pilihan khas yang baharu dalam usaha memperkasakan Parlimen Malaysia.

Mengemukakan Penyata Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menurut Peraturan Mesyuarat 79(2), Azhar berkata, jawatankuasa berkenaan ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri; Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri.

Empat lagi ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur; Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan; Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita & Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.

"Cadangan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas yang baharu dengan pendekatan rentas parti adalah bukti komitmen Parlimen Malaysia untuk memperkasakan fungsi institusi perundangan negara yang lebih telus, diyakini dan unggul sesuai dengan kehendak semasa.

“Untuk tujuan penyelarasan pula, satu sekretariat khusus akan mengurusetiakan kesemua Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata, Majlis Dewan juga mengambil maklum bahawa penubuhan Kumpulan Parlimen Rentas Parti (APPGM) diteruskan dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: