'Tiada belanjawan perpaduan jika enam usul PH ditolak'

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM – Tiada Belanjawan Perpaduan 2021 sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) menolak enam langkah fiskal dan kewangan utama yang diusulkan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan ekonomi rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, adalah mustahak supaya semua pihak bersama-sama merangka belanjawan perpaduan yang berkesan untuk membantu rakyat Malaysia meneruskan kelangsungan hidup ketika kemelesetan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Antara enam langkah utama yang dicadangkan PH adalah melanjutkan moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021, subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021 serta memberi peruntukan pembangunan kepada Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Kebangsaan (NFCP) dan menambah baik infrastruktur air di Selangor.

Tegas beliau, proses perundingan belanjawan itu bukan bermakna PH menyokong atau menerima keabsahan kerajaan PN sekarang.

“Sekiranya salah satu daripada enam langkah utama yang dicadangkan PH ditolak, maka tidak akan ada belanjawan perpaduan yang berkesan untuk memberi manfaat kepada negara, ekonomi negara dan rakyat Malaysia.

“DAP ingin mengulangi bahawa belanjawan perpaduan ini sangat penting dalam menjunjung Titah Diraja yang menolak perisytiharan darurat untuk negara, mengelakkan permintaan seterusnya untuk darurat dan juga mengelakkan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat, yang hanya akan menambah teruk jangkitan Covid-19.

“Belanjawan perpaduan tidak sama dengan apa yang disebut kerajaan perpaduan seperti yang dispekulasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan: