Dua pelajar SMK Sertik maut nahas

Lokasi kejadian yang meragut nyawa dua pelajar SMK Sertik di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga ke Chinta Manis hari ini. Gambar kecil: Muhammad Fikrie dan Muhammad Haziq
Lokasi kejadian yang meragut nyawa dua pelajar SMK Sertik di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga ke Chinta Manis hari ini. Gambar kecil: Muhammad Fikrie dan Muhammad Haziq
A
A
A

BENTONG - Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sertik terbunuh dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di Kilometer (KM) 26 Jalan Utama Felda Mempaga ke Chinta Manis hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, penunggang motosikal, Muhammad Fikrie Mohd Azhari, 15, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Haziq Iskandar Khairul Amir,15, yang membonceng motosikal itu meninggal dunia selepas dibawa ke klinik.

Kedua-duanya dari Felda Mempaga Tiga dalam perjalanan menuju ke sekolah mereka di Sertik.

"Apabila sampai di tempat kejadian selepas selekoh, dipercayai penunggang hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Ia menyebabkan berlaku perlanggaran dengan lori jenis Mercedes yang dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun yang datang dari arah hadapan.

"Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dibawa ke Klinik Mempaga untuk rawatan namun kira-kira jam 10 pagi tadi, kita menerima maklumat dari klinik pembonceng tersebut disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lokasi kejadian yang meragut nyawa dua pelajar SMK Sertik di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga ke Chinta Manis hari ini.
Lokasi kejadian yang meragut nyawa dua pelajar SMK Sertik di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga ke Chinta Manis hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Haziq Iskandar, Suhana Shamsudin, 38, memberitahu, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian itu.

"Memang arwah anak pergi ke sekolah bersama rakannya. Pagi tadi saya hanya sempat berselisih dengannya selepas menghantar anak bongsu ke sekolah dan dia tersenyum melihat saya.

"Tidak lama kemudian, saya mendapat mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada kakak saya sebelum pak cik saya menelefon memberitahu kemalangan yang menimpa anak saya dan rakannya," katanya.

Suhana berkata, arwah yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik merupakan seorang yang baik dan ceria.

"Arwah meluahkan hasrat bergelar pegawai tentera dua hari lepas dan saya pesan kepada dia supaya belajar rajin-rajin," katanya yang merupakan ibu tunggal.