Banduan bakal dibebaskan positif Covid-19

Penjara Seberang Perai mencatatkan 270 kes positif Covid-19 setakat semalam.
Penjara Seberang Perai mencatatkan 270 kes positif Covid-19 setakat semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 14 banduan di Penjara Seberang Perai yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) semalam turut melibatkan banduan yang akan dibebaskan dalam tempoh sebulan lagi.

Pengarahnya, Zulkifli Abdul Manah berkata, kesemua banduan itu disahkan positif dalam ujian saringan kedua.

Menurutnya, selain banduan yang bakal dibebaskan, jumlah itu turut melibatkan tahanan baharu iaitu mereka yang dipenjara kurang daripada enam bulan dan beberapa tahanan lama (mereka yang dipenjara lebih daripada enam bulan).

"Setiap banduan yang akan dibebaskan perlu menjalankan ujian saringan kali kedua bagi memastikan mereka bebas virus tersebut setelah dibebaskan.

"Semua 14 banduan positif itu diletakkan bersama banduan lain yang disahkan positif dan mereka dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, kes Covid-19 di Penjara Seberang Perai, Jawi di Nibong Tebal dilaporkan hanya melibatkan tahanan baharu susulan mereka dipisahkan daripada banduan lama sejak dihantar ke penjara itu pada Mac lalu iaitu ketika wabak tersebut bermula.

Mengulas lanjut, Zulkifli bagaimanapun berkata, jumlah tahanan lama yang dijangkiti virus tidak terlalu ramai.

Sehingga semalam, Penjara Seberang Perai mencatatkan 270 kes positif Covid-19 yang mana daripada jumlah itu, tiga kes aktif melibatkan pegawai penjara, yang semuanya telah pulih dan dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan di penjara tersebut adalah pada 25 Oktober lalu dengan 94 banduan baharu disahkan positif Covid-19 ketika ujian saringan kedua.

Penjara Seberang Perai dan kawasannya termasuk kuarters kakitangan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 4 November ini.

Ia melibatkan 2,110 banduan, 1,129 kakitangan penjara dan anggota keluarga serta 32 kakitangan kerajaan yang lain.

Pulau Pinang kini mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Seberang Perai, menjadikan kedua-dua penjara itu sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini yang disahkan positif selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kes aktif pertama dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang berikutan kematian seorang banduan berusia 85 tahun pada 5 Oktober dan sejak itu, jumlah itu terus meningkat.

Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangan turut diletakkan di bawah PKPD sehingga 11 November ini.

Setakat ini, Kluster Penjara Reman mencatatkan 483 kes dan semuanya melibatkan banduan.

Pulau Pinang juga mempunyai beberapa kluster lain yang merangkumi Alma (41 kes), Bagan (58 kes) dan yang terbaharu ialah Kluster Tembaga (tujuh kes).

Pulau Pinang mencatatkan 24 kes aktif semalam, menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 1,017 dengan tiga kematian.