X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Pelajar dibunuh di Taiwan, ibu bapa lakukan proses pengecaman

Pihak berkuasa Taiwan sebelum ini mengesahkan identiti pelajar Malaysia yang ditemui mati berhampiran Daerah Alian, Kaohsiung pada 29 Oktober sebagai pelajar tahun ketiga di Chang Jung Christian University di Tainan City.
A
A

TAIPEI - Ibu bapa pelajar Malaysia berusia 24 tahun yang dibunuh minggu lalu di Taiwan, kini berada di Kaohsiung pada Isnin pagi untuk proses mengecam mayat, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan ( CNA).

Pasangan itu tiba di bilik mayat Kaohsiung kira-kira jam 1.30 pagi dan kemudian menerima sijil kematian anak perempuan mereka untuk urusan pengebumian.

Mayat anak perempuan mereka, seorang pelajar universiti di Tainan, ditemui pada 29 Oktober di daerah Alian di Kaohsiung selepas pihak universiti melaporkan mengenai kehilangannya sehari sebelum itu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa kali terakhir dilihat pada 28 Oktober, berjalan sendirian dekat dengan tol di daerah Gueiren, Tainan.

Berikutan kes itu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang mengaku mencekik pelajar terbabit sebelum mencampak mayat mangsa di pergunungan Kaohsiung.

Ibu bapa mangsa berlepas ke Taiwan dari Kuala Lumpur pada jam 8 malam Ahad dan menjalani saringan koronavirus Covid-19 semasa ketibaan dan turut diiringi pegawai pendakwa Kaohsiung semasa menuju ke bilik mayat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!