X

Kindly register in order to view this article
!

Nik Abduh pertahan tindakan Mohd Khairuddin

Kenyataan Nik Abduh mengenai tindakan Mohd Khairuddin yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
A
A

SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam selepas gambarnya tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan Mohd Khairuddin itu memberi ‘pencerahan’ kepada orang awam mengenai peraturan memakai pelitup muka.

“Sahabat tanya saya perihal YB Datuk Mohd Khairuddin, Menteri Sawit dan Getah itu, apasal tak pakai pelitup muka sampai kena hentam di ruang maya?

“Saya jawab, baguslah beliau tak pakai. Beliau tunjukkan kita dan bezakan tempat yang sesak yang wajib pakai dari tempat yang tidak sesak yang tak wajib pakai pelitup muka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beberapa foto Mohd Khairuddin yang tidak memakai pelitup muka ketika memberi sumbangan kepada orang ramai baru-baru ini tular di media sosial.
Beberapa foto Mohd Khairuddin yang tidak memakai pelitup muka ketika memberi sumbangan kepada orang ramai baru-baru ini tular di media sosial.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, perbuatan menularkan gambar menteri terbabit merupakan aktiviti pembodohan terhadap minda rakyat.

“Usah terpengaruh dengan bebudak PH (Pakatan Harapan) yang secara terancang tularkan gambar-gambar YB Menteri yang tak pakai pelitup muka.

“Puji dan kritik hanya benar dan berpahala pada perkara yang benar sahaja,” katanya.

Beliau turut memberikan nasihat bahawa fitnah dan sebaran berita palsu berleluasa di akhir zaman.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial beberapa foto Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus tidak memakai pelitup muka ketika menyerahkan sumbangan kepada orang ramai.

Sebelum ini, beliau juga mencetuskan kemarahan orang ramai apabila gagal mematuhi peraturan kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki baru-baru ini.

Akibatnya, Mohd Khairuddin dikenakan kompaun atas kesalahan tersebut namun tidak didakwa di mahkamah selepas Pejabat Peguam Negara mengarahkan tiada tindakan lanjut perlu dikenakan ke atasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!