Program MM2H tidak dibatalkan secara muktamad: Nancy

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini memaklumkan bahawa kerajaan tidak membatalkan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) secara muktamad sebaliknya ia dibekukan sementara waktu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembekuan sementara itu bagi membolehkan kementerian membuat penelitian terperinci dan penambahbaikan program itu merangkumi aspek keselamatan, hartanah, kesejahteraan dan impak ekonomi.

"Sebenarnya kita tidak membatalkan secara muktamad, kita mengkaji semula dan membuat syarat-syarat tertentu. Sebab itu apa yang telah dikemukakan, permohonan itu dikembalikan bagi membolehkan mereka dapat menepati syarat-syarat yang baharu.

"Kita tidak mahu ianya diberikan kepada kita tetapi selepas itu kita tahan dan mereka merasa kerugian. Sebenarnya deposit tidak hilang, pemohon boleh meminta semula dengan ejen," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu bagaimana kerajaan boleh memberi bantuan kewangan kepada peserta yang telah membayar deposit.

Nancy berkata, walaupun menyedari pembekuan itu memberi kesan kepada ekonomi negara, ia perlu dilakukan memandangkan program itu tidak pernah melalui semakan terperinci sejak dilancarkan pada tahun 2002.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu jumlah permohonan yang telah diluluskan kementerian sejak 2018 sehingga kini dan negara mana yang mencatatkan permohonan tertinggi, menteri itu berkata, pada tempoh itu, sebanyak 66,458 permohonan telah diluluskan dan China merupakan negara yang mencatatkan permohonan paling tinggi.

Katanya, selain China, negara lain yang turut membuat permohonan ialah Jepun, Bangladesh, Republik Korea, United Kingdom, Hong Kong, Singapura, Taiwan, Iran dan India. - Bernama

Artikel Berkaitan: