MB Selangor tak langgar perintah kuarantin

Amirudin disiasat selepas tindakannya keluar rumah bagi menyelesaikan isu pencemaran air ketika tempoh kuarantin.
Amirudin disiasat selepas tindakannya keluar rumah bagi menyelesaikan isu pencemaran air ketika tempoh kuarantin.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tidak melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah ataupun ‘Home Surveillance Order’ (HSO) seperti yang didakwa.

Pegawai Khas beliau, Saifudin Shafi Muhammad berkata, ia selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu bahawa individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin.

Menurutnya, Amirudin pulang dari Sabah pada 28 September dan terus menjalani saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 dengan menggunakan kaedah RT-PCR yang keputusannya disahkan negatif sehari kemudian.

"Mengikut direktif kerajaan Persekutuan, kuarantin tidak perlu dijalankan untuk individu yang dikesan negatif saringan ujian RT-PCR. Tambahan pula, Amirudin turut diberi surat pelepasan HSO ekoran keputusan ujian tersebut.

"Bagaimanapun atas prinsip tanggungjawab dan langkah berhati-hati, beliau tetap menjalankan kuarantin kendiri melebihi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, sejumlah tiga ujian saringan RT-PCR telah dijalankan Amirudin dalam tempoh 14 hari bermula 28 September, diikuti 4 Oktober dan 9 Oktober dan kesemuanya menunjukkan keputusan negatif.

Terdahulu, Saifudin memaklumkan Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua hari ini menerima kertas siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dikatakan melanggar perintah kuarantin yang dikeluarkan oleh pihak KKM.

Saifudin berkata, Amirudin akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam memastikan keluhuran undang-undang terus dihormati dan terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta isu tersebut tidak dipolemikkan secara berlebihan sehingga menambah beban kerja PDRM, apatah lagi dalam keadaan ribuan anggota PDRM terpaksa menjalani kuarantin rentetan gelombang ketiga pandemik Covid-19 mutakhir ini.

"Sebagai masyarakat yang bijak, kita haruslah melihat kepada fakta dan undang-undang sebelum membuat sebarang dakwaan," katanya.

Pada 4 Oktober lalu, Amirudin yang menjalani kuarantin di rumah terpaksa keluar bertugas bagi menyelesaikan isu pencemaran dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Mengulas berhubung perkara itu, Saifudin berkata, tindakan tersebut dilakukan kerana pencemaran itu menyebabkan 309,687 akaun air melibatkan hampir 1.3 juta pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air.

"Malah atas prinsip akauntabiliti, beliau turut memaklumkan tindakan tersebut kepada orang awam melalui media sosial beliau pada hari yang sama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MB sedia ambil tindakan mahkamah dakwaan langgar kuarantin

Polis panggil MB Selangor dakwaan langgar kuarantin

'Saya mohon maaf terpaksa keluar kuarantin'