Badi 14 tahun terlerai

Aubameyang (tengah) menjaringkan gol kemenangan Arsenal.
Aubameyang (tengah) menjaringkan gol kemenangan Arsenal.
A
A
A

ARSENAL berjaya menamatkan penantian 14 tahun untuk meraih kemenangan di Old Tafford selepas menundukkan Manchester United 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui ia kemenangan yang cukup bermakna selepas pemainnya mempamerkan semangat jitu untuk meraih keputusan positif di laman keramat United itu.

"Saya ingin membangkitkan rasa percaya dalam diri setiap pemain dan membentuk kesefahaman yang baik dalam pasukan. Saya gembira kerana kami bermain dengan berani dan keyakinan diri yang tinggi.

"Kami boleh sahaja menjaringkan dua gol di babak pertama, tetapi tekanan yang diberikan pasukan lawan kepada kami membantutkan segalanya. Kemudian kami mengubah sedikit rentak permainan dan berjaya mengekang tekanan tersebut," katanya.

Dalam perlawanan tersebut, United dinilai lebih menguasai perlawanan dengan 53 peratus penguasaan bola namun, kedua-dua pasukan mempunyai peluang menjaringkan gol yang sama dengan dua percubaan tepat ke gawang.

Bagaimanapun, Arsenal dilihat lebih bernasib baik apabila jaringan penalti penyerangnya Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-69 memastikan tiga mata berharga buat The Gunners.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan badi Arsenal untuk menang di Old Trafford dalam saingan EPL selepas kali terakhir menang pada 2006 yang lalu.

Dalam pada itu, Arteta menuntut para pemainnya terus memberikan persembahan konsisten dalam usaha mencabar kelompok pasukan teratas EPL itu.

Artikel Berkaitan:

"Jika pasukan mahu menjadi yang terbaik, semua pemain perlu menunjukkan komitmen 100 peratus kerana jadual selepas ini akan lebih padat dan 'gila'. Ia menuntut lebih kerja keras dan kesungguhan.

"Semua pemain perlu mengambil bahagian dan tanyakan kepada diri sendiri apa yang telah saya berikan kepada pasukan. Mereka kena analisis perkara tersebut dan ia bukan hanya berlaku di atas padang tetapi juga ketika sesi latihan.

"Namun, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan oleh pemain," katanya.