Hishammuddin ajak ahli Parlimen tumpu isu rakyat, negara

Ciapan Hishammuddin di Twitter yang mengajak ahli Parlimen fokus isu rakyat dan negara di Parlimen.
Ciapan Hishammuddin di Twitter yang mengajak ahli Parlimen fokus isu rakyat dan negara di Parlimen.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru semua ahli Parlimen untuk menumpukan kepada tanggungjawab, terutama dalam mengurus krisis pandemik koronavirus (Covid-19), baik pulih ekonomi serta perkara-perkara yang mengutamakan rakyat dan negara.

Beliau berkata, kebelakangan ini pelbagai andaian, spekulasi serta perbincangan berlaku menjelang persidangan Parlimen.

"Hari ini akhirnya kita semua berada di Dewan Rakyat dan akan bersidang secara rasmi.

"Saya tidak sabar untuk memulakannya dan berharap semua ahli Parlimen dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada persidangan kali ini. Cukup-cukuplah dengan spekulasi dan politiking, beri keutamaan kepada rakyat dan negara," katanya menerusi video pendek di Twitternya, hari ini.

Tambahnya, orang luar dan rakyat juga sedang memerhatikan bagaimana kerajaan mengendalikan serta memikirkan penyelesaian untuk menangani Covid-19 dan ekonomi negara.

"Sebagai Ahli Parlimen Sembrong saya akan melakukan yang termampu dan berharap sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung dengan lancar dan tiada perkara janggal yang boleh menjejaskan imej kita semua," ciapnya.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang berlangsung hari ini sehingga 15 Disember dijangka terarah kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.