Pembinaan WCE dijangka berdepan kelewatan

Pembinaan WCE di Selangor melibatkan tujuh pakej secara keseluruhan dan pembukaan lebuh raya itu dibuat secara berperingkat bagi memudahkan pengguna. Gambar kecil: Izham Hashim
Pembinaan WCE di Selangor melibatkan tujuh pakej secara keseluruhan dan pembukaan lebuh raya itu dibuat secara berperingkat bagi memudahkan pengguna. Gambar kecil: Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Selangor bakal berdepan kelewatan susulan proses pengambilan tanah dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, berikutan itu, pihak pemaju meletakkan tempoh sasaran baharu bagi pelaksanaan projek itu yang dijangka siap pada tahun 2024.

Beliau berkata, pembinaan WCE di Selangor melibatkan tujuh pakej secara keseluruhan dan pembukaan lebuh raya itu juga akan dibuat secara berperingkat bagi memudahkan pengguna.

"Punca kelewatan adalah disebabkan oleh isu tanah yang berlaku di seksyen 1, 2 dan 3 sekitar Banting berkaitan beberapa lot tanah yang masih dalam proses penyelesaian.

"Jajaran seksyen 7 iaitu sekitar Tanjung Karang pula berlaku perubahan dan melambatkan pembinaan ini," katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Izham berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Law Weng San (DAP-Banting) yang bertanyakan berhubung status terkini pembinaan Lebuhraya WCE khususnya di Kuala Langat.

Mengulas lanjut, Izham berkata, pemilik konsensi juga sentiasa dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pembinaan lebuh raya itu dilaksanakan mengikut sasaran ditetapkan.

"Kita juga faham dan cuba beri perhatian semaksima mungkin untuk menggelakkan gangguan pada rumah penduduk sewaktu proses pengambilan tanah dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi tak dinafikan kawasan terlibat juga adalah padat dan mungkin ada penduduk terlibat dalam proses itu, namun kita akan minimakan kesannya," katanya.