Mansuh PLS boleh beri impak buruk

Dasar pajakan tanah turut diamalkan di negeri lain termasuk Pulau Pinang.
Dasar pajakan tanah turut diamalkan di negeri lain termasuk Pulau Pinang.
A
A
A

SARANAN supaya kerajaan memansuhkan dasar pajakan tanah atau Skim Pajakan Persendirian (PLS) dikhuatiri boleh mendatangkan impak buruk terhadap negara dalam jangka masa panjang.

Ini kerana PLS memastikan pemilikan tanah atau hartanah tidak boleh dimiliki sewenang-wenangnya oleh warga asing.

Baru-baru ini, Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong dalam penulisan dalam satu kolum akhbar kewangan telah menyarankan dasar berkenaan dimansuhkan.

Menurutnya, walaupun pajakan tanah dengan tempoh pajakan pendek adalah popular di negara yang terhad tanah seperti Hong Kong dan Singapura, ia adalah berbeza dengan Malaysia yang memiliki banyak tanah.

“Oleh itu kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan tanah di Medini dan Johor Bahru. Dasar PLS hanya mencetuskan banyak kekeliruan ke atas Pesuruhjaya Bangunan, bank-bank dan pasaran hartanah,” kata Kim Loong.

Saranan Kim Loong agar PLS dimansuhkan tidak wajar diterima.
Saranan Kim Loong agar PLS dimansuhkan tidak wajar diterima.

Bagaimanapun, pemerhati industri menyatakan mereka hairan mengapa Kim Loong memberi tumpuan hanya kepada Johor, sedangkan pelaksanaan skim pajakan serupa turut diamalkan di negeri lain termasuk Pulau Pinang.

Tidak berapa lama dahulu, kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan kepada syarikat terutama syarikat multinasional di negeri itu bahawa pajakan tanah perindustrian masing-masing akan dilanjutkan.

Artikel Berkaitan:

Apa bezanya skim PLS di Johor dengan Pulau Pinang?Tiada beza. Malah secara umumnya, skim PLS di Malaysia ini hampir sama dengan skim pajakan tapak (ground rent atau peppercorn rent) di United Kingdom yang membenarkan tanah dipajak dan dimajukan sepanjang tempoh pajakan dan akan dikembalikan kepada pemilik setelah tempoh pajakan berakhir.

Secara ringkasnya, PLS hanyalah satu opsyen atau alternatif diwujudkan untuk membangunkan tanah, bukan bertujuan menggantikan kaedah pembangunan konvensional sedia ada.

Umumnya, ia adalah pilihan kepada sektor swasta yang memiliki kapasiti, kemahuan dan pilihan untuk menyertai PLS menerusi kontrak sah.

Dalam konteks ini, terdapat beberapa perkara yang boleh dibahaskan mengenai pandangan berkenaan:

1. Kedaulatan negara - Bagi mana-mana negara di dunia, tidak ada kerajaan yang bersedia melepaskan hak milik tanah kepada orang asing. Malah ada kerajaan sanggup mengisytiharkan perang bila tanah diambil orang asing. Mengapa Malaysia wajar menjadi lain daripada yang lain pula mesti melonggarkan peraturan supaya tanah boleh dijual beli kepada sesiapa juga?

2. Kekal dalam tangan Malaysia - Dasar PLS memang diwujudkan sebagai kaedah memastikan tanah atau hartanah negara ini tidak dimiliki orang asing sewenang-wenangnya atau melampau. Dasar pembangunan ini harus juga memahami sentimen rakyat yang ramai tidak ada rumah apatah lagi tanah semata-mata kerana mereka miskin. Tetapi orang kaya, orang asing sesuka hati merampas tanah mereka?

3. Pelaburan bertanggungjawab - Semua pihak mahukan pelaburan asing tetapi ia hendaklah mengikut standard amalan dunia iaitu mengikut peraturan, mengikut syarat dan had. Jika tanah sudah dimiliki orang asing, apa pula tuntutan selepas ini? Kewarganegaraan?

4. Ketelusan - Siapakah dapat menjamin kemasukan dana membeli tanah itu datangnya dari sumber yang boleh disahkan, yang bukan duit daripada ekonomi gelap, disalur oleh sindiket yang akhirnya akan menjual semula aset itu kepada pembida tertinggi. Mahukah kita dimanipulasikan sedemikian rupa?

5. Tanah yang luas - Benar Malaysia masih memiliki tanah yang belum diteroka untuk pembangunan. Tetapi dasar pembangunan yang diamalkan kerajaan ialah pembangunan bersistematik. Tiada tanah saja-saja diteroka, hasil hutannya dijarah tanpa mengutamakan kepentingan rakyat. Begitulah pembangunan tersasar seperti di Medini, Johor yang dirancang rapi memastikan masyarakat sekitarnya mendapat manfaat sama. Apa erti tanah diteroka demi untuk memuaskan orang asing yang ada duit saja?

6. Rumah jadi mahal - Hujah mengaitkan rumah pajak mendorong harga meningkat kerana berebut tanah pegangan bebas agak dangkal. Kenaikan harga ini diketahui umum didorong oleh spekulator dan pelabur berjangka pendek, bukan pembeli tulen yang mahu tinggal di sesuatu rumah.

7. Kecekapan PLS - Berikutan kes tuntutan mahkamah membabitkan Tropika Istimewa iaitu subsidiari Mah Sing, ia memberi implikasi negatif terhadap PLS tetapi tidak bermakna dasar ini harus dimansuhkan sama sekali kerana jika berbuat demikian, tanah negara akan terdedah kepada risiko diambil orang asing. Apa yang diperlukan adalah mengemas kini PLS berdasarkan isu berbangkit.

8. Perluasan PLS - Kelihatannya seperti ada usaha menggambarkan PLS ini satu kaedah yang merugikan rakyat. Dakwaan sedemikian adalah serong kerana matlamatnya mahu melindungi kepentingan rakyat Malaysia supaya tanah dan hartanah tidak dikuasai atau dibolot orang asing.

9. Siapa sebenarnya menentang PLS, rakyat atau pemaju? - Skim ini tidak begitu menarik bagi pelabur hartanah yang mencari keuntungan maksimum semata-mata. Mereka sebenarnya, ada ruang dan peluang yang lain dengan membabitkan diri memajukan hartanah yang tiada sekatan kepentingan di pasaran terbuka, yang mana mereka boleh bersaing dengan membeli dan memajukan tanah yang sedia ada dalam pasaran.

10. PLS kabur? - Saranan pemansuhan PLS oleh HBA untuk tujuan perumahan kerana tidak jelas dari segi tempoh klasifikasi tanah dan jenis pemilikan oleh pembeli. Hal ini boleh dihuraikan menerusi penerangan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Perkara ini jika ditolak mentah-mentah, ia hanya membawa kepada pergeseran pendapat.