Kelantan jamin bekalan makanan musim tengkujuh cukup

Tuan Mohd Saripudin (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Program Kelapa Al-Falah ketika hadir di Pejabat Pertanian Pasir Puteh semalam.
Tuan Mohd Saripudin (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Program Kelapa Al-Falah ketika hadir di Pejabat Pertanian Pasir Puteh semalam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan memberi jaminan bekalan makanan dan barangan keperluan harian di negeri itu mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pelbagai persediaan telah dilakukan termasuk mengadakan mesyuarat di seluruh peringkat jajahan bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Segala persiapan telah dilakukan sebagai langkah awal menghadapi banjir.

"Kita mahu bekalan makanan terutama beras dan barangan keperluan lain mencukupi sepanjang tempoh berkenaan," katanya ketika ditemui pada Program Kelapa Al-Falah di Pejabat Pertanian Pasir Puteh di sini, semalam.

Menurutnya, bahan mentah seperti ikan dan sayur turut diberikan perhatian bagi memastikan bekalan itu mencukupi.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu berkata, import sayuran dari negara jiran menunjukkan penurunan sepanjang pandemik koronavirus (Covid-19) dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Katanya, penurunan itu disebabkan oleh sikap rakyat yang mula bercucuk tanam di kawasan kediaman masing-masing ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan kerajaan dalam membendung Covid-19 pada Mac lalu.

"Situasi ini telah menyemarakkan budaya pertanian dalam kalangan masyarakat dan hasil tanaman itu kemudiannya dituai serta digunakan mereka untuk seisi keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Malah kami juga sedia berkongsi ilmu dengan masyarakat dalam merancakkan lagi perkembangan pertanian yang secara tidak langsung mampu mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dari negara jiran," katanya.